Diberi Gaji Penuh 20 Tahun Tanpa Sebarang Tugas, Wanita Ini Saman Majikan
Seorang wanita Perancis telah mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat majikannya atas dakwaan “gangguan moral dan diskriminasi di tempat kerja”, menuduh syarikat tersebut membayarnya selama 20 tahun tanpa memberi sebarang tugas.
Difahamkan, majikannya mengetahui bahawa wanita itu menghidap hemiplegia (lumpuh separa pada muka dan anggota badan) sejak lahir selain menghidap epilepsi (sawan), lalu menawarkan jawatan yang sesuai dengan keadaan kesihatannya.
Beliau bekerja sebagai setiausaha di Jabatan Sumber Manusia sehingga tahun 2002 apabila beliau meminta untuk dipindahkan ke wilayah lain di Perancis.
Permintaannya diluluskan, tetapi tempat kerja barunya tidak disesuaikan dengan keperluan kesihatannya. Laporan perubatan pekerjaan mengesahkan bahawa jawatan tersebut tidak sesuai untuknya.
Bagaimanapun, majikannya didakwa gagal membuat sebarang penyesuaian kepada tugasnya, sebaliknya memilih untuk membayar gaji penuhnya selama 20 tahun tanpa memberinya sebarang kerja.
Akhirnya, wanita itu melaporkan situasi tersebut kepada Kerajaan dan Pihak Berkuasa Tinggi tempatan untuk “memerangi diskriminasi”.
Pada tahun 2015, majikannya melantik seorang mediator untuk menyelesaikan masalah tersebut, tetapi keadaan tidak bertambah baik kerana syarikat itu masih terus membayar gajinya tanpa memberikan sebarang tugas.
Wanita itu failkan aduan atas tuduhan “gangguan moral dan diskriminasi di tempat kerja berkaitan dengan keadaan kesihatannya”
Peguam kepada wanita tersebut mendakwa bahawa syarikat majikannya cuba memaksanya berhenti kerja melalui cara tersebut.
“Mereka lebih suka membayar gajinya daripada memberikannya kerja,” kata peguam wanita itu, sambil menambah bahawa wanita itu telah memfailkan aduan terhadap syarikat tersebut dan empat pengurusnya atas tuduhan “gangguan moral dan diskriminasi di tempat kerja berkaitan dengan keadaan kesihatannya”.
“Mendapat pekerjaan bagi seseorang yang kurang upaya bermakna mempunyai tempat dalam masyarakat, pengiktirafan dan membentuk hubungan sosial,” tambah peguam wanita itu.
Menurut Oddity Central, akhbar tempatan melaporkan bahawa syarikat majikan wanita itu menyatakan mereka telah melakukan segala yang mungkin untuk memastikan wanita tersebut bekerja dalam keadaan terbaik.
Syarikat itu juga mendakwa bahawa mereka telah mempertimbangkan “situasi sosial peribadi” wanita tersebut dan membayar gaji penuhnya secara berterusan, termasuk memberikan beberapa bentuk bantuan yang tidak perlu dikembalikan.
Selain itu, syarikat telah merancang untuk mengembalikannya ke jawatan yang disesuaikan dengan keperluannya, tetapi rancangan ini tidak pernah direalisasikan kerana wanita tersebut kerap mengambil cuti sakit.
BACA: Jatuh Cinta Di Pusat Jagaan, Wanita 23 Tahun Kahwini Lelaki 80 Tahun
BACA: Amanahraya Lestari Alam Sekitar Menerusi ‘Love & Care’, Projek Pembenihan Karang, Konservasi Penyu & Bersih Pantai
Sumber: Oddity Central