Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata beliau lebih memilih untuk menjaga kepentingan rakyat Malaysia berbanding berdebat, yang disifatkan tidak membawa sebarang hasil apabila perdebatan itu selesai.
Katanya lagi, keadaan itu boleh dilihat menerusi debat antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan bekas Menteri Penerangan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek serta antara Anwar dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang diadakan pada Mei lepas.
“Saya sudah mengatakan dari segi debat ini tidak membawa hasil pun… setakat habis debat, habislah. Orang ini bawa penyokong, orang itu bawa penyokong dan penyokong bersorak-sorak dalam dewan. Itu sahaja.
“Kita dalam kerajaan lebih daripada berdebat. Kita pastikan apa yang dirancang (dan) diumumkan dilaksanakan. Kalau timbul masalah (seperti) kos sara hidup yang meningkat, kita kena tengok keadaan ini untuk mengurangkan beban rakyat.
“Tugas kerajaan itu banyak dan tugas kita bukan setakat bercakap, tetapi kita juga melaksanakan,” katanya ketika ditemui pemberita dalam Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) di Pahan baru-baru ini.
Acara berkenaan turut disertai Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali serta barisan pentadbiran mewakili kerajaan pusat dan negeri.
Beliau seterusnya menambah, pendirian itu sedikit berbeza dengan parti pembangkang, yang boleh bercakap apa sahaja kerana parti pembangkang tidak perlu menunaikan apa yang disebutkan mereka.
“Mereka tidak perlu melaksanakan kerana mereka tidak akan dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan (perkara yang diperkatakan), kerana mereka bukan kerajaan. Sedangkan, kita (kerajaan) bila berjanji, mesti kita laksanakan,” katanya lagi.
Perdana Menteri itu berkata demikian selepas diminta memberi respon kepada kenyataan yang dibuat oleh Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dimana beliau bersedia untuk berdebat dengan mana-mana calon Perdana Menteri daripada parti lain sebelum PRU-15 berlangsung.
Terdahulu, Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Anwar juga mengemukakan cadangan supaya calon-calon Perdana Menteri daripada tiga parti berdebat antara satu sama lain. Cadangan berkenaan dibuat ketika beliau menyampaikan ceramah di Temerloh baru-baru ini.
Sumber: Bernama