Dapat Kad Merah, Aksi ‘Jelmaan’ Zidane Nunez Buat Klopp Pening Kepala, Tiada Penyerang Nak Lawan MU Nanti
Mimpi ngeri, itulah apa yang boleh diperkatakan mengenai aksi penyerang termahal Liverpool, Darwin Nunez ketika tampil dalam aksi sulungnya di laman sendiri, Anfield pagi tadi (waktu Malaysia). Ini selepas tindakannya menyondol muka pemain lawan, Joachim Andersen, menjadi tumpuan peminat bola sepak dunia.
Tindakan tersebut, sekaligus mengingatkan semua kepada tindakan Zidane menanduk perut Marco Materazzi dalam final Piala Dunia 2006.
Walaupun memulakan kempen liga dengan baik, apabila menjaringkan 1 gol dan memberi 1 bantuan gol dalam debutnya di EPL ketika menentang Fulham minggu lepas, kali ini namanya menjadi sebutan kerana kad merah yang diterimanya.
Akibat daripada tindakan tersebut, dia bakal terlepas sekurang-kurang tiga perlawanan, terutamanya perlawanan penting menentang seteru utama liga sejak sekian lama, Manchester United minggu depan.
Lebih malang, tindakan tersebut akan memberikan masalah besar kepada kelab yang kini berdepan dengan krisis kecederaan melibatkan beberapa tonggak utama pasukan, termasuk di pemain di jentera hadapan, iaitu Roberto Firmino dan Diogo Jota.
Selain menjadi bualan peminat, turut tidak terlepas memberi komentar mengenai tingkah laku pemain tersebut adalah jurulatihnya sendiri, Jurgen Klopp dan bekas pemain Liverpool, Jamie Carragher.
”Kad merah yang jelas, saya tidak boleh menafikannya. Dia akan belajar daripada kesilapan tersebut”, ujar Klopp mendakwa terdapat provokasi daripada pemain lawan dalam insiden tersebut, namun mengakui reaksi balas Nunez sebagai sesuatu yang salah.
Klopp juga mengakui bahawa kad merah tersebut akan menjejaskan perancangan pasukan, yang ketika ini masih belum mencatatkan kemenangan selepas dua perlawanan liga, namun berkata mereka akan menyelesaikan isu tersebut.
Manakala bagi Jamie Carragher pula, tindakan Nunez itu ternyata telah membuatkan rakan sepasukan dan juga peminat kecewa.
”Saya tidak percaya dia membuat protes kepada pengadil (sebelum kejadian), Anderson tidak melakukan apa-apa kesalahan. Dia berada di posisinya sebagai pemain pertahanan. Ia bukan satu kesalahan pun.
”Dia ingat dia akan terlepas dengan tindakan tersebut. Di hadapan pengadil pula tu. Kemudian, dia cuba berbalah dengan pengadil dan cuba meyakinkan rakan sepasukan bahawa dia tidak melakukan apa-apa kesalahan.
”Boleh nampak, ketika melangkah keluar padang, dia menyedari kesilapan yang dilakukannya. Di bilik persalinan, dia mungkin akan berasa sangat sedih kerana telah mengecewakan rakan sepasukan dan peminat,” katanya.
Walaupun ketinggalan dan bermain 10 orang, Liverpool masih mampu mendominasi perlawanan terutamanya pada masa separuh kedua.
Namun, mereka terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 1-1 dalam perlawanan pertama di tempat sendiri musim ini, hasil jaringan cemerlang Luiz Diaz yang sekurang-kurangnya berjaya menyelamatkan satu mata.
Sumber: The Guardian CBSS Sport