Baru-baru ini, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman telah didakwa atas tuduhan pecah amanah dan salah guna sumbangan kempen Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 berjumlah RM1.12 juta pada 2018 dan 2020 lalu.
Bagaimanapun bekas menteri belia dan sukan itu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut, sebelum diperintah mahkamah untuk membayar ikat jamin bagi kedua-dua pertuduhan sebanyak RM330,000.
Bagi melancarkan pembayaran ikat jamin, satu tabung sumbangan awam telah dibuka sejak semalam. Menariknya, sumbangan itu berjaya mencapai sasaran (malah lebih banyak) hanya dalam tempoh 24 jam setakat ini.
Menurut ciapan di Twitter Syed Saddiq sebentar tadi, jumlah sumbangan yang berjaya terkumpul adalah sebanyak RM715,573.77, hasil sumbangan daripada 9,836 penyumbang.
Terharu dengan sumbangan yang sangat memberangsangkan itu, Syed Saddiq berbesar hati mengucapkan rasa syukur dan terima kasih kepada rakyat kerana sudi membantu ‘misi’ beliau.
Namun di sebalik sumbangan itu, ada kisah yang lebih menarik perhatiannya. Ianya bermula apabila seorang penduduk (Muar) yang agak berusia datang ke pejabatnya petang tadi.
Pada awalnya, pihaknya menyangka bahawa ‘pakcik’ itu datang kerana mahu meminta bantuan, tapi rupa-rupanya mahu berikan sumbangan ikhlas untuk tabung yang dilancarkan.
“Petang tadi, ada pakcik datang ke pejabat. Ingatkan nak minta bantuan. Rupanya nak sumbangkan RM100 ke saya. Saya rasa nak menangis. Ketika ini, saya akan teringat kenapa saya sertai politik. Bukan kerana jawatan atau wang, tetapi untuk membina Malaysia yang maju dan bermaruah,” katanya.
Ciapannya itu meraih lebih 7 ribu tanda ‘Likes’ serta dibanjiri dengan pelbagai komen daripada netizen. Rata-ratanya memuji ‘keperibadian’ yang ditunjukkan oleh beliau kerana dikatakan berpegang kepada prinsip dan pendirian.
Sumber: Twitter Syed Saddiq