Cuti Umum Hari Thaipusam & Hari Wilayah Persekutuan 2026 Bagi Pekerja Swasta
Kerajaan Persekutuan mewartakan dua hari kelepasan am bagi tahun 2026 iaitu Hari Thaipusam dan Hari Wilayah Persekutuan yang jatuh pada 1 Februari 2026, menurut kenyataan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), Kementerian Sumber Manusia (KSM).
Menurut kenyataan itu, cuti Hari Wilayah Persekutuan merupakan cuti wajib yang perlu diberikan oleh majikan sektor swasta yang beroperasi di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
Ia adalah selaras dengan peruntukan Seksyen 60D(1)(a)(iii) Akta Kerja 1955 dan cuti tersebut tidak boleh digantikan dengan cuti lain.
“Memandangkan Cuti Hari Wilayah Persekutuan jatuh pada hari Ahad, maka majikan yang menetapkan hari Ahad sebagai rehat mingguan pekerja hendaklah memberi cuti gantian pada hari bekerja berikutnya (Isnin).
“Selanjutnya, majikan yang memilih cuti perayaan Hari Thaipusam sebagai baki enam hari kelepasan am yang dipilih sebagaimana subseksyen 60D(1)(a) Akta 265, perlu memberi cuti gantian pada hari bekerja berikutnya (Selasa) memandangkan terdapat pertindihan kedua-dua hari kelepasan am ini.
“Majikan juga boleh memberikan pekerja mana-mana hari lain sebagai hari kelepasan berbayar sebagai ganti dengan persetujuan pekerja sebagaimana seksyen 60D(1A),” jelas kenyataan itu.
Selain itu, JTKSM memaklumkan bahawa pekerja yang diarahkan bekerja pada hari kelepasan am adalah layak menerima kadar bayaran gaji cuti am sebagaimana ditetapkan dalam Seksyen 60D(3) Akta Kerja 1955.

BACA: Tarikh Permohonan & Bayaran BUDI Diesel RM200 Bagi Tahun 2026
Sumber: Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia Rasmi