Menteri Kesihatan Malaysia, Khairy Jamaluddin memaklumkan bahawa majoriti 77.5 peratus daripada kes COVID-19 kategori 3, 4 dan 5 yang direkodkan pada 16 Februari belum menerima dos penggalak atau apa-apa vaksin.
Menurutnya, hasil daripada data yang dicatatkan pada 16 Februari itu, 24 kes COVID-19 atau bersamaan 24.7 peratus langsung tiada vaksinasi atau belum lengkap divaksinasi.
“51 kes atau pun 52.8 peratus pula belum menerima dos penggalak, jadi kita campur dua ni sebab terdiri daripada mereka kategori 3, 4, dan 5 yang tak dapat dos penggalak.
“77.5 peratus daripada kes kategori 3, 4 dan 5 pada 16 Februari adalah mereka yang belum menerima dos penggalak atau belum menerima apa-apa vaksin,” katanya menerusi sidang media petang ini.
Ujarnya lagi, kita semua perlu memastikan bahawa kes kategori 3, 4 dan 5 yang membimbangkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ini dapat dikurangkan.
Mereka yang masih belum lagi mendapat dos penggalak juga dimohon untuk mendapatkannya.
“Dos penggalak bukan jaminan untuk kita tidak dijangkiti COVID-19 tetapi berdasarkan kepada data ini, menunjukkan bahawa dos penggalak membantu mencegah gejala yang serius daripada penyakit COVID-19 dan ini jelas menunjukkan bahawa majoriti 77.5 peratus kes kategori 3, 4 dan 5, kes yang paling serius adalah mereka yang tiada dos penggalak atau langsung tiada vaksin,” katanya.
Tambahnya KKM akan terus mengemaskini data dari masa ke semasa untuk menunjukkan bukti bahawa dos penggalak adalah sangat-sangat diperlukan dan penting untuk mengurangkan gejala yang serius daripada penyakit COVID-19.
Sumber: RTM