China dilaporkan telah melarang pemain bola mereka mencacah tatu untuk menunjukkan contoh yang baik kepada masyarakat.
Memetik laporan CNN, arahan yang dikeluarkan oleh Pentadbiran Am Sukan China itu turut terpakai kepada pemain yang sedia ada mempunyai tatu. Mereka diminta untuk menanggalkan atau menutup tatu tersebut.
Arahan dengan tajuk ‘Cadangan untuk memantapkan pengurusan pemain bola sepak’ membentangkan keperluan disiplin untuk pemain pasukan kebangsaan.
“Atlet pasukan kebangsaan dan pasukan kebangsaan Bawah 23 tahun dilarang sama sekali memiliki tatu baharu.
“Mereka yang mempunyai tatu dinasihatkan untuk membuang tatu sendiri dan dalam kes yang istimewa, tatu itu mesti ditutup semasa latihan dan pertandingan selepas persetujuan pasukan.
“Pasukan kebangsaan di peringkat Bawah 20 tahun juga dilarang merekrut atlet baharu yang bertatu,” kata kenyataan dalam arahan itu.
Tambah kenyataan itu lagi, ia menunjukkan semangat positif pemain bola sepak China dan menunjukkan contoh yang baik kepada masyarakat.
Pasukan negara itu juga diarahkan untuk menganjurkan aktiviti yang mengukuhkan pendidikan patriotik para atlet untuk meningkatkan semangat misi, tanggungjawab dan penghormatan serta mewujudkan pasukan kebangsaan yang mampu menakluk dan berjuang dengan baik dengan gaya permainan yang cemerlang.
Untuk pengetahuan, arahan seperti ini bukan pertama kali dikeluarkan oleh China. Pada tahun 2018, pengawal selia media China mengeluarkan satu arahan etika kepada televisyen China supaya tidak menampilkan pelakon yang bertatu.
Imej dengan tatu dikehendaki dikaburkan sebelum boleh ditayangkan di televisyen.
Sumber: CNN