China dan Malaysia Bersatu Dalam Sambutan Budaya, Tradisi & Sajian di IOI Resort City

IOI Resort City, Putrajaya, 22 Februari 2025 – IOI Properties Group (IOIPG) bersama Visit IOI Resort City telah menganjurkan sambutan istimewa yang meraikan hubungan erat antara Malaysia dan China, lebih daripada sekadar hubungan diplomatik yang telah terjalin selama 51 tahun.
Acara bertemakan The China and Malaysia – A Celebration of Culture, Tradition and Culinary Excellence ini berlangsung selama empat hari dari 19 hingga 22 Februari 2025. Para pengunjung disajikan dengan persembahan budaya, warna-warni tradisi dan hidangan istimewa yang memukau.
Sambutan bermula pada 19 Februari 2025 di W Kuala Lumpur, hotel terbaru di bawah segmen Hospitaliti & Rekreasi IOIPG, dengan persembahan kilat berkumpulan (flash mob) memukau yang memaparkan elemen tarian rakyat Shaanxi Utara dan tarian kipas ShaanBei Yangge, berlatarbelakangkan keindahan Menara Berkembar Petronas. Persembahan ini diteruskan ke IOI Mall Damansara dan IOI Mall Puchong pada 20 Februari 2025, menghiburkan pengunjung dengan aksi bertenaga.

Pada 21 Februari 2025, Moxy Putrajaya yang terkenal dengan konsep moden dan mesra belia menjadi lokasi makan malam eksklusif. Tetamu dihiburkan dengan tarian klasik Dinasti Tang, pertunjukan membuat ramen secara langsung, penceritaan rakyat dan persembahan Empat Kecantikan Terkenal China, sambil menikmati sajian gabungan Malaysia-China yang lazat.
Kemuncak acara adalah majlis makan malam gala di Putrajaya Marriott Hotel pada 22 Februari 2025, dihadiri lebih 250 tetamu termasuk wakil industri pelancongan. Upacara simbolik memotong kambing panggang dan persembahan tarian Dunhuang Flying Apsaras menjadi tarikan utama malam itu.

Encik Alan Yau, Ketua Bahagian Hotel IOI Properties Group, berkata, “Acara ini bukan sahaja mempamerkan makanan dan persembahan, tetapi juga memperkukuh hubungan dua hala melalui pertukaran budaya dan pemahaman dalam perniagaan. Kehadiran IOIPG di Xiamen membuktikan komitmen kami dalam membina hubungan yang lebih kukuh antara kedua-dua negara.”
Sementara itu, Puan Tan Lee Fong, Pengarah Jualan & Pemasaran Kumpulan IOIPG, menambah, “Sambutan hangat dari rakyat Malaysia dan pelawat dari China menunjukkan minat mendalam terhadap pertukaran budaya ini. Ia menjadi platform hebat untuk mempererat hubungan dan menghargai warisan bersama.”

Encik Yan Hua, Setiausaha Agung Dewan Perniagaan Fujian Shaanxi, turut memuji sambutan ini. “Kami berbangga dapat mempersembahkan budaya kaya China dan terharu melihat rakyat Malaysia begitu terbuka menerimanya. Ini permulaan kepada hubungan budaya yang lebih erat di masa depan,” katanya.
Acara ini dianjurkan bersama dengan kerjasama Tourism Malaysia, Dewan Perniagaan Fujian Shaanxi, Persatuan Jenama Bersejarah Xi’an, dan Dewan Perniagaan Umum Shaanxi Malaysia.
Untuk lebih banyak aktiviti menarik, ikuti kami di media sosial dengan hashtag #VISITIOIRESORTCITY dan #IRCTHINKAGAIN atau layari @visitoiresortcity.