PUTRAJAYA, 21 Julai – Seorang pekerja buruh binaan warga asing dilaporkan meninggal dunia akibat terperangkap di bawah runtuhan tanah dalam satu nahas semalam.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Nik Ezanie Mohd Faisal berkata, tragedi itu berlaku di sebuah tapak pembinaan di kawasan Kota Damansara pada pukul 12.58 tengah hari, melibatkan seorang pekerja berusia 35 tahun.
“Siasatan awal mendapati mangsa sedang melakukan kerja pemasangan paip pembuangan air bawah tanah.
“Tiba-tiba tanah dinding yang berhampiran runtuh dalam bentuk ketulan besar lalu menimbus mangsa daripada kepala hingga ke kaki.
“Mangsa disahkan mati semasa dalam perjalanan ke Hospital Sungai Buloh,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Bagaimanapun, punca kejadian masih dalam siasatan polis.



Sumber: Polis Daerah Petaling Jaya