PUTRAJAYA, 25 Nov – 10 universiti tempatan yang terdiri daripada tujuh universiti awam dan tiga universiti swasta kini tersenarai dalam kelompok 110 universiti terbaik Asia buat pertama kali.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, kejayaan tersebut merupakan pencapaian terbaik negara setakat ini, sekaligus membuktikan hala tuju pendidikan tinggi negara berada pada landasan tepat.
“Kejayaan ini juga secara tidak langsung akan terus menempatkan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi di rantau Asia ini.
“Dan (ia) juga dapat membantu institusi dalam menjalinkan kerjasama dengan penyelidik terkemuka dunia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Selain itu, Noraini menambah, tahun ini merupakan separuh penggal pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 Pendidikan Tinggi (PPMPT).
Dalam masa sama, ia juga telah menunjukkan peningkatan kualiti dan kecemerlangan institusi pendidikan tinggi tempatan dalam tempoh singkat.
Untuk rekod, laporan Quacquarelli Symonds (QS) World University Ranking’s: Asia 2021 pada hari ini menunjukkan Universiti Malaya (UM) mendahului lain-lain universiti tempatan di tempat kesembilan dalam Asia.
Senarai tempatan itu diikuti Universiti Putra Malaysia (ke-28), Universiti Sains Malaysia (ke-34), Universiti Kebangsaan Malaysia (ke-35), Universiti Teknologi Malaysia (ke-39), Universiti Teknologi PETRONAS (ke-70), Universiti Taylor’s (ke-89), Universiti Utara Malaysia (ke-107) dan Universiti Teknologi MARA (ke-108).
Selain itu, UM juga berjaya tersenarai dalam 10 universiti terbaik Asia buat pertama kali dengan mendapat tempat kesembilan berbanding tempat ke-13 pada penarafan tahun lepas.
“UM juga telah berjaya mengatasi Shanghai Jiao Tong University yang menduduki tempat ke-10 dalam penarafan tahun ini.
“(Difahamkan) Shanghai Jiao Tong University merupakan universiti terkemuka yang telah memperkenalkan Academic Ranking’s of World Universities atau lebih dikenali sebagai Shanghai Jiao Tong University Rankings yang menilai kekuatan penyelidikan universiti di seluruh dunia,” tambah kenyataan itu lagi.
Laporan tersebut turut menyenaraikan UM, UPM, USM, UKM, UTM, UUM dan UiTM serta tiga universiti swasta iaitu Universiti Teknologi PETRONAS, Universiti Taylor’s dan Universiti UCSI sebagai 110 universiti terbaik Asia atau 10 buah universiti terbaik di negara ini.
Mengulas lanjut, Noraini menjelaskan bahawa sebanyak 35 universiti tempatan telah tersenarai dalam penarafan kali ini, dengan pertambahan enam universiti baharu berbanding 29 universiti pada tahun lepas.
Menurutnya, 24 universiti telah berjaya memperbaiki kedudukan berbanding tahun lepas, selain tiga universiti mengekalkan kedudukannya serta dua universiti pula jatuh daripada kedudukan tahun lepas.
“Dalam laporan tersebut juga dinyatakan bahawa Malaysia merupakan antara negara yang menunjukkan peningkatan terbaik dalam penarafan kali ini.
“Sistem pendidikan negara telah diterima sebagai bereputasi tinggi dalam kalangan akademik dan majikan di peringkat Asia,” tambahnya lagi.
Senarai lengkap kedudukan 35 universiti tempatan adalah seperti berikut:





Sumber: KPT