Enam pelarian Syria termasuk dua bayi dan seorang kanak-kanak ditemui mati di atas bot yang tiba di pelabuhan Sicily di Pozzallo, Itali baru-baru ini, lapor Al-Jazeera.
Menerusi kenyataan Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR), mangsa yang maut adalah antara sekumpulan 26 orang yang telah berada di atas bot tersebut selama beberapa hari.
UNHCR memaklumkan, keenam-enam pelarian yang maut tersebut didakwa mengalami kelaparan dan kehausan yang teruk, selain turut melecur pada badan (dipercayai akibat cuaca panas).
Tambahnya, dua daripada kanak-kanak yang maut terbabit masing-masing berusia satu atau dua tahun manakala kanak-kanak lain berusia 12 tahun.
Manakala individu yang terselamat iaitu seorang wanita dan anak perempuannya pula diterbangkan dari bot ke sebuah hospital di pulau berhampiran Malta.
Menurut rekod Persatuan Bangsa Bersatu (PBB), kira-kira seramai 1,200 orang mati atau hilang ketika cuba menyeberangi Laut Mediterranean untuk ke Eropah pada tahun ini.
Enam lagi pelarian ditemui mati
Sementara itu, Kementerian Dalam Negeri Tunisia pada Isnin memaklumkan, enam mayat pelarian turut ditemui terdampar di luar pantai negara itu.
Ekoran itu angka kematian pelarian meningkat kepada 12 orang selepas bot yang membawa mereka karam pada malam Selasa minggu lalu.
Sumber keselamatan memaklumkan seramai 37 rakyat Tunisia telah menaiki bot di pantai bandar Sfax dan mengambil langkah yang ‘sulit’ untuk sampai ke pantai Itali.
Pada Ahad kelmarin, dilaporkan enam mayat ditemui dan 14 orang telah diselamatkan sementara 11 orang yang lain dipercayai masih hilang.
Namun pada musim panas ini pelarian tersebut cenderung untuk menaiki bot ekoran cuaca hujan membantutkan perjalanan mereka untuk merentasi pulau itu.
Difahamkan, krisis ekonomi yang meruncing mendorong semakin ramai rakyat Tunisia untuk mencuba menyeberang disebabkan tidak boleh hidup di negara mereka yang semakin merosot (ekonominya).
Untuk rekod, Agensi sempadan Frontex Kesatuan Eropah berkata, lebih 42,500 pendatang dan pelarian menggunakan laluan Mediterranean Tengah antara Januari dan Julai tahun ini.
Jumlah itu dilapor meningkat 44 peratus berbanding tujuh bulan pertama pada tahun 2021 lalu.
Sumber: Al-Jazeera