Bimbingan & Pemulihan Perlu Bagi Kanak-kanak Terlibat Hubungan Seksual Bawah Umur Secara Suka Sama Suka, Tanpa Mengira Jantina
Rentetan kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh pelbagai pihak berhubung isu hubungan seksual di antara kanak-kanak bawah umur atas kerelaan sendiri atau suka sama suka, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) kekal dengan pendirian bahawa kanak-kanak tanpa mengira jantina yang terlibat dalam kes seumpama ini perlu dilindungi, dibimbing serta dipulihkan, dan bukannya diakhiri dengan tindakan hukuman semata-mata.
Sebagai kanak-kanak, sebaiknya mereka harus diberi peluang dan ruang untuk belajar daripada kesilapan, memulihkan diri, dan membina semula kehidupan tanpa dibebani stigma atau trauma jangka panjang.
Hal ini perlu dilihat dengan mengambil kira pembangunan diri kanak-kanak daripada segi emosi, kognitif, sosial dan sebagainya. Ini dapat membantu kanak-kanak menilai sendiri kesan sesuatu tindakan yang diambil.
Justeru, fokus utama KPWKM berhubung isu ini adalah untuk memberi tumpuan kepada kaunseling, pendidikan dan sokongan yang tersusun bagi menjamin pembangunan serta kesejahteraan masa depan mereka.
Perundangan dan program sedia ada yang memberi penekanan kepada intervensi, perlindungan dan proses pemulihan bagi kanak-kanak yang berkonflik dengan undang-undang adalah selaras dengan pendirian KPWKM ini.
Sistem berperingkat menerusi pendekatan berbeza sama ada melibatkan pemulihan dalam komuniti mahupun melalui institusi kanak-kanak seperti asrama akhlak dan institusi pemulihan yang lain ini adalah untuk memastikan kanak-kanak menerima bimbingan dan sokongan sewajarnya di setiap tahap.
Pada masa yang sama, perlu ditegaskan bahawa individu dewasa memikul tanggungjawab utama untuk membimbing dan melindungi kanak-kanak, dan tidak boleh sama sekali – dalam apa jua bentuk –mengeksploitasi mereka.
Bagi kes yang dibuktikan mempunyai elemen eksploitasi atau penderaan terhadap kanak-kanak, Kerajaan akan memastikan undang-undang dikuatkuasakan dengan tegas dan berkesan terhadap pelaku.
Kenyataan dan pandangan yang dikeluarkan oleh pelbagai pihak tanpa asas yang kukuh mengenai sifat semulajadi kanak-kanak yang perlu dibimbing dan dilindungi ini boleh disalah erti atau menimbulkan kekeliruan masyarakat.
Namun, kesepakatan dan kebersamaan antara semua pihak dalam menangani isu ini akan memastikan masa depan yang terbaik untuk kanakkanak.
Isu ini tidak boleh ditangani melalui peruntukan undang-undang semata-mata, tetapi ia memerlukan kesedaran yang lebih tinggi, pembentukan institusi keluarga yang kukuh serta pembangunan sahsiah dan jati diri masyarakat menerusi pembabitan dan kebersamaan komuniti.
KPWKM komited untuk terus bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan dalam usaha mewujudkan persekitaran yang selamat untuk semua kanak-kanak.
Setiap kanak-kanak berhak mendapat peluang kedua. Jalan ke hadapan bukan melalui hukuman, tetapi melalui penjagaan, bimbingan dan perlindungan.
Sumber: Kenyataan Media KPWKM