Gambar via Bernama

Berkuatkuasa Serta-Merta, Perjalanan VTL Malaysia-Singapura Dibuka Semula Sepenuhnya

Eyla Azri

Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) memaklumkan bahawa penjualan tiket bas dan penerbangan bagi inisiatif Vaccinated Travel Lane (VTL) antara Malaysia dengan Singapura (laluan udara dan darat) kini dibuka semula sepenuhnya dengan kapasiti 100 peratus, berkuatkuasa serta-merta.

Menurut Menteri Pengangkutan Malaysia, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong dalam satu kenyataan berkata, keputusan ini dibuat setelah menilai risiko semasa dan persetujuan dari pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Penjualan tiket penerbangan akan dibuka dan berkuatkuasa serta-merta untuk perjalanan segera.

“Penjualan tiket bas akan disambung semula berkuatkuasa serta-merta tetapi hanya untuk perjalanan bermula 22 Februari 2022 dan seterusnya,” jelas Wee dalam kenyataan tersebut.

Tambah beliau, kedua-dua negara sedang mengadakan perbincangan lanjut untuk memperluas laluan VTL Laluan Udara ke Pulau Pinang dan Kota Kinabalu yang akan dilaksanakan tidak lama lagi.

Sehubungan itu, MOT melalui Malaysia Airports Holdings Berhad dalam proses menyediakan fasiliti ujian saringan COVID-19 dan kemudahan-kemudahan berkaitan di lapangan terbang terlibat sebagai usaha menyokong inisiatif tersebut.

Sehingga 14 Februari 2022, dikatakan seramai 171,583 pengembara daripada Singapura telah mangambil peluang melalui inisiatif ini. Inisiatif VTL diperkirakan dapat memberi manfaat kepada rakyat, di samping merancakkan sektor perlancongan kedua-dua negara.

Sumber: Kementerian Pengangkutan Malaysia