Seperti yang kita tahu, beberapa negeri di Semenanjung Malaysia dilanda banjir baru-baru ini. Turut terjejas teruk dalam bencana alam ini adalah kawasan-kawasan di sekitar Lembah Klang.
Namun dalam keadaan di mana rata-rata daripada mangsa mengalami kerosakan harta benda, masih ada insan yang lebih memilih menyelamatkan nyawa berbanding memikirkan kerugian sendiri seperti lelaki ini.
Melalui sebuah rakaman live di laman Facebook The Pickers Bundle, lelaki ini berkongsi momen ‘ajaib’ di mana dia cuba menyelamatkan seekor kucing yang sakit kerana terperangkap banjir. Pun begitu, setelah sekian lama berikhtiar, dia gagal menemukan klinik haiwan untuk merawat kucing berkenaan.
“Terfikir jugak, kucing je pun, sedangkan kami punya kedai anggaran kerugian satu juta ringgit, baik selamatkan kedai.
“Tapi hati kecil kata, kalau kucing tu anak kita, mesti kita selamatkan.
“Jadi kami cari klinik haiwan daripada pukul 10 tadi, tak jumpa.
“Tapi Allah tunjuk keajaiban Dia.
“Bila saya sampai depan kedai, ada doktor haiwan tolong kucing tu. Sangat ajaib,” kata lelaki berkenaan dalam video.
Menurutnya, dia sudah pun mencari klinik haiwan di seluruh Shah Alam namun semuanya penuh. Tak disangka-sangka, sekumpulan sukarelawan dikatakan dari Persatuan Perlindungan dan Penyelamat Haiwan (SPCA) Ampang Jaya datang membantu untuk merawat kucing malang itu di depan kedainya itu.
“Logik akal tak boleh terima. Allah nak tunjuk kuasa.
“Perniagaan ni hanya untuk hidup di atas muka bumi, tapi ni melibatkan nyawa.
“Walaupun dia hanya seekor kucing, tapi dia pun ada rasa sakit macam kita,” katanya yang bersyukur kerana urusannya dipermudahkan.
Sumber: The Pickers Bundle