Berang Isteri Minta Cerai, Lelaki Tergamak Tikam Isteri & Anak Berkali-Kali Guna Pisau
Seorang lelaki di Malang, Indonesia kini diburu oleh pihak polis selepas disyaki tikam isteri dan anaknya dengan menggunakan pisau dapur dalam kejadian pada Selasa lalu.
Memetik laporan Liputan6, kejadian bermula apabila lelaki terbabit bergaduh dengan isterinya di rumah ibu mertuanya di Desa Sitirejo, Kecamatan Wagir. Menurut siasatan, dia bertindak menikam berkali-kali selepas berang isterinya meminta cerai.
“Kejadian itu berlaku beberapa hari lalu di rumah mertua pelaku. Pelaku telah melarikan diri,” kata Ketua Unit Siasatan Jenayah Polres Malang, AKP Donny Kristian Bara’langi.
Menurutnya, hasil kenyataan dari saksi mendapati bahawa lelaki itu tiba-tiba datang ke rumah mentuanya dalam keadaan beremosi.
Dia kemudian mengugut untuk membunuh isterinya dan ketika itulah berlakunya pergaduhan besar. Tidak lama kemudian, pelaku menikam isteri dan anaknya berulang kali.
“Keganasan itu berlaku kerana isteri mengugut untuk bercerai dengannya, maka berlaku perdebatan dan pelaku bertindak menikam dengan menggunakan pisau tajam,” jelasnya.
Lelaki itu akan didakwa di bawah Pasal 44 Ayat (2) Jo. Pasal Undang-Undang Nombor 23 Tahun 2004 mengenai Penghapusan Kekerasan dalam Rumah Tangga (PKDRT).
“Kami telah merampas beberapa barang bukti iaitu baju berwarna kuning, baju pendek bercorak garis warna putih dan seluar panjang berwarna biru,” kata Dony.
Sementara itu, kedua-dua mangsa yang mengalami kecederaan parah selepas ditikam sebanyak sembilan kali dilaporkan masih lagi sedang dirawat di hospital.
BACA: Duda Tikam Ustaz, Sakit Hati Selalu Kena Tegur
Sumber: Liputan6