Belanjawan 2025: KPKT Terima Peruntukan RM 5.934 Bilion Pacu Kesejahteraan Rakyat
PUTRAJAYA, 18 Oktober 2024 – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyambut baik intipati pembentangan Belanjawan 2025 yang bertemakan “Ekonomi MADANI, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera” oleh YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan di Parlimen, hari ini.
KPKT menerima peruntukan sebanyak RM5.934 bilion pada tahun 2025 berbanding RM5.647 bilion pada tahun 2024 dengan peningkatan sebanyak 5.08 peratus atau RM 287.4 juta.
Kenaikan peruntukan KPKT memperjelaskan peranan penting kementerian ini dalam menerajui dasar-dasar kerajaan bagi meningkatkan taraf dan kualiti hidup rakyat di negara ini.
YB Tuan Nga Kor Ming, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, berkata “Belanjawan 2025 merupakan kesinambungan kejayaan belanjawan lalu yang diterjemahkan menerusi peningkatan kualiti hidup rakyat dan menjadi pemangkin kepada produktiviti KPKT yang menerajui agenda kesejahteraan rakyat.”
“Pengagihan sejumlah peruntukan besar kepada KPKT adalah bukti kepercayaan dan keyakinan Kerajaan MADANI kepada KPKT untuk meneruskan agenda pemerkasaan kesejahteraan rakyat dan persekitaran mampan.”

Peruntukan Belanjawan 2025 ini merangkumi lima (5) sektor utama yang menjadi tumpuan KPKT pada tahun 2025 iaitu perumahan, kerajaan tempatan, kemampanan bandar dan kesejahteraan komuniti, perkhidmatan kebombaan dan ekonomi kitaran.
Belanjawan 2025 menggariskan 13 inisiatif yang melibatkan KPKT seperti berikut:
1. RM10 bilion diperuntukkan untuk Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) dan Step-Up Financing;
2. RM900 juta diperuntukkan di bawah Program Residensi Rakyat (PRR) dan Rumah Mesra Rakyat (RMR) untuk pelaksanaan 48 PRR dan 14 projek RMR termasuk dua (2) projek PRR baharu di Port Dickson dan Seberang Perai Tengah;
3. Kenaikan had siling bantuan rumah baharu dari RM75,000 kepada RM90,000 dan baik pulih rumah sehingga RM20,000;
4. RM200 juta diperuntukkan untuk penyelenggaraan Rumah Strata Kos Rendah dan Sederhana Awam termasuk menggantikan lif-lif usang;
5. Pelepasan cukai sehingga RM7,000 bagi bayaran faedah pinjaman perumahan bagi kediaman berharga sehingga RM500,000, pelepasan cukai RM5,000 bagi kediaman berharga melebihi RM500,000 hingga RM750,000 bermula 1 Januari 2025 hingga 31 Disember 2027;
6. RM100 juta diperuntukkan untuk membina gerai dan membaik pulih prasarana pasar awam/ gerai/ warung di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seluruh negara;
7. RM150 juta diperuntukkan untuk pembersihan dan menaik taraf longkang, parit serta sungai di kawasan PBT;
8. RM84 juta diperuntukkan untuk menaik taraf kemudahan asas dan sosial bagi kegunaan komuniti Kampung Baru Cina. KPKT juga diberi tanggungjawab untuk menyelaras keperluan di perkampungan kaum India;
9. RM50 juta diperuntukkan khusus untuk kerja-kerja baik pulih dan selenggara Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) yang berdaftar di seluruh negara;
10. RM100 juta diperuntukkan untuk menaik taraf 48 buah Taman Awam MADANI meliputi kawasan rekreasi serta landskap serba indah di bandar dan pekan kecil;
11.RM1.8 bilion diperuntukkan untuk membina, menyelenggara dan membaik pulih semua kuarters penjawat awam termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM);
12. Peluasan Perlindungan Sosial kepada semua penjawat awam dan Skim Ex-gratia Bencana Kerja melibatkan anggota JBPM; dan
13. Penggalakkan Ekonomi Kitaran melalui insentif pelepasan cukai untuk pembelian mesin kompos sisa makanan bagi kegunaan isi rumah dan sumbangan atau penajaan Smart Artificial Intelligence – Driven Reverse Vending Machine sehingga tahun taksiran 2027 yang dicadangkan oleh KPKT.

Secara keseluruhan, peruntukan ini akan dapat menyokong keberhasilan lapan (8) bidang fokus utama KPKT seperti perancangan perumahan, pemerkasaan peranan dan peningkatan potensi keupayaan Kerajaan Tempatan, pemerkasaan komuniti, kemampanan bandar, pengurusan sisa pepejal, perkhidmatan kebombaan dan pembinaan Taman Rekreasi MADANI.