Bekas Ketua Setiausaha Negara, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid dilapor telah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada awal pagi tadi.
Berita tersebut dimaklumkan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki Ali menerusi satu kenyataan di Facebook pagi ini.
“Salam takziah buat seluruh keluarga Allahyarham YABhg. Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid diatas pemergian Allahyarham yang telah meninggal dunia pada 28 Ogos 2021, jam 1.40 pagi.
“Allahyarham merupakan mantan Ketua Setiausaha Negara dari tahun 1990 hingga 1996 dan seorang tokoh pentadbir perkhidmatan awam yang amat disegani serta dihormati sewaktu dalam perkhidmatan.
“Pemergian Allahyarham adalah kehilangan besar buat negara melalui jasa dan bakti yang telah dicurahkan selama ini. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmatNya dan ditempatkan bersama para solihin. Al-Fatihah,” katanya.
Selain itu, memetik perkongsian di laman Facebook Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Allahyarham juga pernah dianugerahi Tokoh Maal Hijrah pada 1999 dahulu.
Hal tersebut demikian kerana jasa-jasa Allahyarham yang dicurahkan dalam pentadbiran dan pengurusan hal ehwal Islam di negara ini ketika itu.
“Saya mewakili Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengucapkan takziah kepada keluarga almarhum. Semoga sabar dan tabah atas ujian ini.
“Semoga Allah mencucuri rahmat kepada Almarhum, diterima amal soleh, diampunkan segala dosanya dan ditempatkan dalam kalangan para solihin,” katanya di laman Facebook hari ini.
Untuk rekod, selain berperanan sebagai Ketua Setiausaha Negara dari 1990 hingga 1996, Allahyarham juga merupakan Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).
Sumber: FB Tan Sri Datuk Seri Mohd Zuki Ali / FB Datuk Seri Abdul Hadi Awang