
Bekas Ketua Hakim Negara Ketuai Jawatankuasa Siasat Isu Dokumentasi 7 Pemain Warisan
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini mengumumkan pelantikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif, sebagai Pengerusi Jawatankuasa Bebas bagi menyiasat isu dokumentasi membabitkan tujuh pemain warisan Harimau Malaya.
Menurut hantaran FAM di laman rasmi Facebook, pelantikan tersebut dibuat susulan tindakan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang mengenakan penggantungan selama 12 bulan terhadap tujuh pemain warisan berkenaan.
Ia selaras dengan pengumuman terdahulu oleh Timbalan Presiden FAM, Dato’ S. Sivasundaram pada sidang media 17 Oktober lalu, yang memaklumkan bahawa satu jawatankuasa bebas akan ditubuhkan tanpa penglibatan mana-mana individu daripada FAM bagi memastikan proses siasatan dijalankan dengan adil, telus dan profesional.
Menurut hantaran, Tun Md Raus memulakan kerjaya dalam Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan pada tahun 1976, dengan memegang pelbagai jawatan penting termasuk Majistret, Presiden Mahkamah Sesyen, Timbalan Pendakwa Raya serta Penasihat Undang-undang di negeri Melaka dan Kelantan.
Selain itu, beliau juga pernah berkhidmat di Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri.
“Beliau dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman pada 1994 dan seterusnya dinaikkan pangkat sebagai Hakim Mahkamah Tinggi pada 1996
“Kemudian dilantik sebagai Presiden Mahkamah Rayuan dan mencapai kemuncak kerjaya kehakimannya apabila dilantik sebagai Ketua Hakim Negara pada 2017,” jelas FAM.
FAM menjelaskan di peringkat antarabangsa, Tun Md Raus turut memainkan peranan penting sebagai Presiden Persatuan Mahkamah Perlembagaan Asia dan Institusi Setaraf.
Dalam pada itu, beliau juga merupakan ahli aktif Majlis Ketua Hakim Negara ASEAN (CACJ) yang menyumbang kepada wacana dan kerjasama undang-undang serantau.
“Berdasarkan kredibiliti dan pengalaman luas beliau, FAM berharap Tun Md Raus bersama-sama ahli jawatankuasa bebas tersebut yang akan dipilih oleh beliau sendiri akan dapat sama-sama menjalankan proses siasatan secara teliti dan menyeluruh sebelum membuat satu rumusan hasil siasatan itu nanti,” kata hantaran itu lagi.
https://www.facebook.com/share/p/1E7czF6dKE/