KUALA LUMPUR, 25 Feb (Bernama) — Bekalan gas perubatan di Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN) Hospital Sungai Buloh yang telah dinaik taraf membantu mempercepatkan rawatan pesakit COVID-19 yang mempunyai gejala sesak nafas.
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata PKKN ketika ini digunakan sebagai pusat ‘step down care’ untuk kes-kes COVID-19 terutamanya bagi kes kategori satu dan dua yang tidak memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi dan juga klinik pesakit luar.
“Namun, untuk memastikan kita mempunyai pusat rawatan yang dibekalkan dengan bekalan gas perubatan bagi setiap katil maka kita telah buat pelaburan untuk naik taraf lapan wad di PKKN.
“Ini akan membantu rawatan kes COVID-19 dalam kalangan pesakit dengan gejala sesak nafas untuk cepatkan rawatan supaya mereka dapat pulih dengan kadar segera,” katanya kepada pemberita selepas majlis Perasmian dan Lawatan Kompleks Magnetic Resonance Imaging (MRI) dan Projek Naik Taraf Bekalan Gas Perubatan di PKKN Hospital Sungai Buloh dekat sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Sumber: Bernama