Bayi 18 Bulan Koma Dipercayai Dihentak Kuat Ke Lantai
Seorang bayi lelaki berusia 18 bulan kini bertarung nyawa dalam keadaan koma selepas dipercayai dihentak ke lantai oleh seorang pelancong di ruang ketibaan Lapangan Terbang Sheremetyevo, Moscow.
Kejadian tragis itu dirakam menerusi rakaman kamera keselamatan, memaparkan suspek, 31, dari Belarus, tiba-tiba mengangkat bayi berkenaan dan menghumbannya ke lantai dengan kuat.
Menurut laporan, mangsa mengalami kecederaan parah termasuk retak pada tempurung kepala serta kecederaan serius pada tulang belakang. Mangsa kini dirawat di hospital dan masih dalam keadaan kritikal.
Lapor Daily Mail UK, ketika kejadian, ibu mangsa yang sedang hamil dilaporkan sedang mengambil kereta sorong bayi mereka selepas penerbangan.
Difahamkan, keluarga bayi tersebut baru tiba di Rusia selepas melarikan diri dari Iran akibat serangan bom. Mereka melalui perjalanan sukar merentasi Afghanistan sebelum tiba ke Moscow.
Disyaki di bawah pengaruh dadah
Difahamkan, suspek ditahan segera oleh pihak berkuasa selepas insiden tersebut. Siasatan awal mendapati terdapat kesan ganja dalam darahnya.
Selain itu, beberapa laporan menyatakan dadah turut ditemukan dalam milikannya. Suspek juga didapati tidak mampu memberikan penjelasan munasabah terhadap tindakannya.
“Saya pernah buat kesilapan seperti itu sebelum ini,” kata suspek tanpa menunjukkan rasa kesal.
Lebih mengejutkan, beliau turut mempunyai seorang anak perempuan yang sebaya dengan mangsa.
Seorang rakan wanita suspek dilaporkan berada dalam keadaan terkejut sepenuhnya selepas melihat tindakan tidak berperikemanusiaan tersebut.
Dalam pada itu, suspek sedang disiasat atas pertuduhan cubaan membunuh dan motif serangan masih dalam siasatan.
Untuk info, Lapangan Terbang Antarabangsa Sheremetyevo merupakan lapangan terbang tersibuk di Rusia, yang mengendalikan lebih 40 juta penumpang dan 300,000 pesawat setiap tahun.
BACA: Detik Cemas Pemandu Lori ‘Tergantung’ di Jambatan China Selepas Runtuh
Sumber: Daily Mail UK