Jepun, 29 Jan – Seorang pemandu bas disahkan positif koronavirus selepas dia dipercayai membawa pelancong dari Wuhan pada awal bulan ini.
Kes ketujuh di Jepun ini merupakan jangkitan antara manusia yang pertama berlaku di sana melibatkan mangsa yang tidak pernah pergi ke Wuhan, pusat penularan wabak itu.
Mangsa dilaporkan membawa pelancong dari Wuhan sebanyak dua kali dalam bulan ini, kata Menteri Kesihatan Jepun, Katsunobu Kato.
Pemandu bas berusia 60-an itu dilaporkan membawa kumpulan pelancong dari Wuhan ke Tokyo dari 8 hingga 11 Januari dan ke Osaka antara 12 hingga 16 Januari, lapor kementerian berkenaan.
Kesemua pelancong tidak menunjukkan simptom jelas dijangkiti virus ketika lawatan berkenaan dan dilaporkan telah pulang ke China.
Mangsa mula menunjukkan simptom batuk-batuk pada 14 Januari dan ke hospital tempatan tiga hari kemudiannya. Walaubagaimanapun, dia tidak disahkan pneumonia sehingga Sabtu lalu. Lantaran itu, pesakit berkenaan dimasukkan ke hospital dan dilaporkan dalam keadaan stabil.
Sumber: South China Morning Post (SCMP)