Bintang bola sepak, Cristiano Ronaldo akhirnya ‘melepaskan’ rasa terujanya apabila telah kembali ke pangkuan kelab legendanya, Manchester United.
Menerusi satu kenyataan di laman Facebook rasminya hari ini, Ronaldo yang turut dikenali sebagai CR7 itu berkata, rasa cintanya terhadap Manchester United tidak pernah pudar selama ini.
“Semua yang kenal saya, tahu tentang rasa cinta saya yang tak pernah hilang untuk Manchester United. Bertahun-tahun saya habiskan masa di kelab ini di mana ia sangat menakjubkan dan jalan yang kami cipta bersama tercatat dalam catatan emas bersejarah.
“Susah saya nak gambarkan perasaan saya sekarang, bila mana kepulangan saya ke Old Trafford ini diumumkan ke seluruh dunia. Ia bagaikan mimpi yang menjadi kenyataan.
“Setelah sekian lama saya kembali (ke sini) untuk menentang Manchester United, walaupun sebagai pihak lawan, saya tetap berasa disayangi dan dihormati oleh penyokong-penyokong. Ini memang betul-betul 100 peratus mimpi!” katanya dalam kenyataan tersebut.
Dalam pada itu, Ronaldo turut mengimbas semula bagaimana kejayaan-kejayaannya dalam karier bola sepak bermula di kelab tersebut.
“Liga domestik pertama saya, piala pertama saya, panggilan pertama saya ke pasukan kebangsaan Portugal, kejuaraan liga pertama saya, Anugerah Kasut Emas pertama saya dan Anugerah Ballon d’Or, semuanya bermula dari hubungan istimewa antara saya dengan Red Devils.
“Sejarah telah tertulis pada masa lalu dan sejarah (juga) akan ditulis sekali lagi. Anda pegang janji saya! Saya di sini! Saya kembali di mana saya bermula! Mari lakukannya sekali lagi!
“Tuan Alex (Ferguson), kepulangan saya ini adalah untukmu…” katanya lagi.
Untuk rekod, bintang Portugal itu secara rasminya kembali ke Old Trafford dua hari yang lalu setelah hampir 10 tahun berkelana di gergasi Liga Sepanyol, Real Madrid dan gergasi Liga Itali, Juventus.
Sumber: Facebook rasmi Cristiano Ronaldo