Kes-kes scam yang menyebabkan kerugian wang ringgit semakin membimbangkan di negara ini.
Kebanyakan taktik scammer yang digunakan adalah dengan menakut-nakutkan mangsa. Kerana ketakutan, mangsa yang terpedaya dengan taktik scammer itu akan terus memberikan maklumat peribadi atau pun memindahkan sejumlah wang ke dalam akaun scammer.
Terbaharu, laman Facebook Cyber Crime Alert Royal Malaysia Police ada berkongsikan tentang taktik terkini scammer yang menyamar sebagai pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk memperdayakan mangsanya.
Untuk mengetahui dengan lebih lanjut bagaimana scammer ini memperdayakan mangsanya, ikuti perkongsiannya seperti berikut:
Awas! Penyamaran LHDN
Orang ramai diingatkan supaya berhati-hati dengan panggilan yang menyamarkan diri sebagai kakitangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Penjenayah akan menakut-nakutkan mangsa dengan helah masalah tunggakan cukai.
Penjenayah kemudiannya akan menghantar pautan (link) kepada telefon mangsa melalui aplikasi Whatsapps.
Pautan ini adalah bagi mangsa memuat turun aplikasi yang dipanggil MyBNM (aplikasi palsu).
Mangsa kemudiannya diminta untuk mengisi butir-butir maklumat kewangan
(Nama, no IC, no telefon, no akaun bank, no kad ATM, no pin ATM, user name dan kata laluan). Selepas itu, mangsa akan diminta untuk memajukan (forward) kod TAC yang diterima kepada suspek dengan alasan tujuan siasatan. Setelah mangsa menyerahkan kesemua butiran beserta no TAC, tanpa disedari wang milik mangsa telah dipindahkan ke akaun pihak ketiga (mule akaun). Mangsa hanya sedar ditipu setelah menyedari wang di dalam akaun miliknya hilang.
*Ingat: Jangan Serah KOD TAC / OTP kepada orang lain
Sumber: Cyber Crime Alert Royal Malaysia Police