Ratusan warga asing mula meninggalkan Wuhan setelah penularan wabak koronavirus semakin serius di China dengan 132 kematian dan lebih 6000 kes dicatatkan. Kes jangkitan di Jepun dan Jerman menunjukkan kemungkinan berlakunya penyebaran virus dari manusia ke manusia.
Lantaran itu, beberapa negara termasuk Jepun dan Australia mula mengambil inisiatif untuk membawa pulang rakyatnya yang terperangkap di sana.
Australia merancang untuk mengasingkan rakyatnya yang pulang dari Wuhan di Pulau Krismas, kira-kira 2,000 kilometer dari tanah besar negara itu.
Perdana Menteri Australia, Scott Morrison berkata rakyat terlibat bakal dikuarantin selama dua minggu di pulau berkenaan.
Pengumuman itu menimbulkan kontroversi dalam kalangan rakyat berikutan status Pulau Krismas yang digunakan sebagai pusat tahanan imigresen dengan kapasiti lebih 1,000 orang.
Pusat tahanan Pulau Krismas. (Gambar: Google)Sementara ini, pulau itu sedang digunakan untuk menempatkan sebuah keluarga pelarian dari Sri Lanka. Petisyen untuk menggesa kerajaan membebaskan mereka telah mencapai lebih 260,000 tanda tangan dalam tempoh beberapa bulan, lapor The Guardian.
Priya dan Nadesalingam bersama dua anak mereka, Kopika dan Tharunicaa telah melarikan diri dari perang saudara di Sri Lanka dan tinggal di Biloela, Queensland sejak 2014 sebelum ditempatkan di Pulau Krismas pada 2018.
Sumber: BBC, The Guardian