PUTRAJAYA, 12 Jan – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan diperuntukkan kuasa untuk membantu melaksanakan fungsi-fungsi berhubung dengan kesihatan awam.
Dalam masa sama, ATM juga turut diberi kuasa membantu fungsi-fungsi yang dijalankan oleh pegawai awam yang berkaitan semasa pandemik ini.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, itu adalah antara ordinan yang boleh dimasyhurkan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah kepada agensi penguatkuasaan dan keselamatan negara.
“Sepanjang tempoh darurat ini, jika YDPA berpuas hati bahawa ada hal-hal keadaan tertentu yang menyebabkan perlu baginya mengambil tindakan serta-merta, maka Seri Paduka Baginda boleh masyhurkan apa-apa ordinan yang perlu mengikut hal keadaan semasa.
“Dalam konteks ini, beberapa ordinan darurat boleh dimasyhurkan oleh YDPA bagi tujuan membendung wabak COVID-19 yang merangkumi hal-hal berkaitan penggunaan aset hospital swasta, mengambil alih milikan sementara tanah bangunan, atau harta alih hospital swasta, atau membuat permintaan untuk menggunakan sumber hospital swasta bagi tujuan merawat pesakit COVID-19,” katanya dalam Pengumuman Khas Darurat hari ini.
Atas usaha itu, jelas Muhyiddin, kerajaan juga boleh mendapatkan penglibatan daripada pihak swasta dengan lebih inklusif, termasuk kemudahan penjagaan kesihatan swasta bagi membantu meringankan beban yang ditanggung oleh agensi kerajaan terutamanya hospital awam.
“Menerusi ordinan ini, bantuan yang boleh diperolehi daripada pihak swasta (adalah) meliputi sumber manusia, kepakaran, fasiliti, aset, makmal ujian dan utiliti.
“Di samping itu, kuasa-kuasa perlu di bawah ordinan ini juga akan digunakan untuk memudahkan urusan dan mengatasi apa-apa peraturan yang menyukarkan penyampaian perkhidmatan kesihatan awam secara pantas, cekap dan berkesan dalam pandemik ini,” tambahnya lagi.
Selain itu, antara ordinan lain yang boleh dimasyhurkan YDPA adalah termasuk berkenaan memerangi sabotaj ekonomi, monopoli dan kenaikan harga barang secara keterlaluan.
Aspek kawalan keselamatan di sempadan negara juga turut diperketatkan dengan memberi kuasa kepada anggota tentera selain polis dan imigresen untuk menangkap pendatang asing tanpa izin (PATI) dan sesiapa sahaja yang menceroboh sempadan negara.
Sumber: RTM