Siapa sangka, keputusannya meninggalkan keluarga untuk hidup bersendirian akhirnya membawanya kepada satu ‘kehidupan’ baharu bersama makhluk-makhluk yang tidak bernyawa dan barangkali, menyeramkan.
Malah bermula daripada dirinya sendiri, wujudnya sebuah pulau kecil berdekatan tasik di sebuah wilayah sunyi yang dipenuhi dengan anak-anak patung ‘misteri’. Mungkin ada yang sudah tahu, mungkin juga ada yang baru tahu.
Inilah kisah perjalanan seorang lelaki di Mexico, Don Julian Santana Barrera (gambar) yang berhijrah seorang diri dari rumahnya di Xochimilco, Mexico menuju ke Tasik Teshuilo, sebuah tasik besar dalam wilayah berkenaan.
Tidak pasti mengapa dia berbuat demikian, namun keputusannya untuk hidup berseorangan di tasik itu telah membuatkan kehidupannya berubah apabila dia menemui sesuatu yang ‘misteri’.
Gambar: GoogleJulian menjalani rutin hariannya seorang diri dengan ‘sepi’, sehinggalah pada suatu hari dia menemui sekujur tubuh mayat kanak-kanak perempuan yang hanyut di tasik itu, dipercayai mati akibat lemas.
Beberapa hari selepas itu, muncul pula sebuah anak patung yang turut sama hanyut di terusan tidak jauh dari tasik tersebut. Dia pun mengutip anak patung itu dan membawanya ke darat.
Dia menyedari mayat kanak-kanak perempuan itu dipercayai ada kaitan dengan anak patung yang dijumpainya. Lalu patung tersebut digantung di pokok di sebuah pulau kecil di situ sebagai tanda penghormatan dan ‘menenangkan’ roh si mati.
Gambar: IsladelasmunecasHidup bersendirian selama bertahun-tahun membuatkan dia berasa dirinya seakan seorang ‘penjaga’ di tasik berkenaan. Oleh itu, dia berasa anak patung yang ditemui itu tadi tidak ‘cukup’ untuk si arwah.
Maka bermula sejak itu, Julian mula mengutip semua anak-anak patung yang dijumpai di tempat pembuangan sampah, di sungai, di terusan, dan tasik berhampiran lalu membawanya ke ‘terataknya’ di tasik tersebut.
Setiap anak patung yang dikutipnya itu akan digantung di pokok, dinding, pagar dan sebagainya. Tasik Teshuilo yang dulunya sepi tanpa penduduk, kini telah ‘meriah’ dengan ‘kehadiran’ anak-anak patung yang seakan ‘bernyawa’.
Gambar: SONY DSC/Google
Gambar: Journey Mexico/GoogleDikatakan Julian tegar hidup bersendiri bersama anak-anak patungnya itu selama kira-kira 50 tahun lamanya. Hampir separuh kehidupannya dihabiskan di tasik yang sepi lagi menyeramkan itu.
Sehinggalah pada 2001, usia Julian sudah sampai ke penghujungnya. Akhirnya lelaki ‘sepi’ itu menghembuskan nafasnya yang terakhir. Namun agak menghairankan, dia didakwa ditemui meninggal dunia di tasik tersebut, dipercayai akibat lemas.
Kematiannya itu seakan ‘mengimbau’ kembali saat bagaimana kanak-kanak perempuan yang ditemuinya mati lemas di tasik yang sama satu ketika dahulu. Sejak itu, Tasik Teshuilo telah hilang ‘penjaganya’.
Kisah Julian dan Pulau Anak Patung ini pernah menjadi tumpuan rakyat Mexico beberapa tahun dahulu. Sejak kematiannya, tasik tersebut telah dikunjungi pelancong luar dan tempatan yang mahu melihat sendiri dunia anak patung itu.
Sebagai tanda penghormatan kepadanya, pelancong-pelancong ini akan turut sama menggantung anak-anak patung di sekitar tasik berkenaan. Pendek kata, apa yang pernah dibuatnya ketika hidup dahulu kini diulang semula semasa dia telah mati.
Gambar: Business Insider
Gambar: Google SiteSumber: Discovery / CNTraveler