GEORGE TOWN, 23 Mac – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang menahan sebuah bot bersama lima nelayan warga Indonesia yang didapati menceroboh perairan negara untuk menangkap ikan pada kedudukan 32.3 batu nautika barat Pulau Kendi di sini, semalam.
Pengarahnya Kapt Abd Razak Mohamed berkata bot tersebut dikesan dalam rondaan Op Tanjung, pada 5 petang semalam.
“Pemeriksaan ke atas bot, mendapati lima nelayan termasuk tekong yang kesemuanya berusia antara 18 hingga 45 tahun. Semua mereka tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya semua lelaki itu ditahan untuk siasatan lanjut kerana menceroboh perairan negara dan kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 iaitu menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.
— BERNAMA