Anwar Akui Tak Tahan Disindir Cucu Kerana Sokong Manchester United
PUTRAJAYA — Susulan prestasi kelab yang sering menjadi bahan jenaka, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga penyokong Manchester United mengakui tidak tahan disindir cucu sendiri, petik Astro Awani.
Menceritakan kembali, Anwar berkata beliau sememangnya penyokong setia pasukan The Red Devils untuk sekian lamanya.
Bagaimanapun, cucu-cucunya yang juga penyokong kelab ‘gah’ seperti Arsenal dan Liverpool itu sering menjadikannya bahan jenaka setiap kali pasukan Liga Perdana Inggeris pilihannya tewas.
“Saya ini penyokong Manchester United, jadi cucu-cucu kata saya ini sudah ketinggalan zaman, kegemilangan kelab itu sudah berlalu.
“Saya kata tidak, saya tidak mampu lagi menukar pasukan. Mereka penyokong Arsenal, sebahagian kecilnya Liverpool. Saya kata tidak, saya tidak akan bersama dengan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di sini, hari ini.
Jelasnya, beliau tidak larat mendengar apabila cucunya memberitahu kelab kesukaannya tewas dalam perlawanan.
“Setiap kali cucu saya datang, dia kata: MU kalah lagi. Haih… tak larat nak dengar dia,” katanya dengan nada berjenaka.
Pada malam Sabtu lalu, Old Trafford menjadi kubur Manchester United apabila tewas 0-3 kepada Liverpool dalam perlawanan minggu ke-3.
Kekalahan di tangan The Red itu menjadi kekalahan kedua United daripada tiga perlawanan musim ini.
Susulan itu, timbul desas-desus mengenai masa depan pengurus pasukan Erik Ten Hag bersama kelab itu.
Musim ini, Manchester United berjaya ‘memborong’ lima pemain baharu bagi memperkuatkan pasukan.
“Selepas City, kami menang trofi paling banyak..” – Ten Hag
Sebelum ini, jurulatih Manchester United, Erik Ten Hag menafikan pasukan akan dihukum selepas dimalukan rival, Liverpool 0-3 di hadapan penyokong sendiri.
Jurulatih Belanda itu sekali lagi menjadi perhatian ramai selepas perlawanan ‘panas’ minggu ketiga Liga Perdana Inggeris (EPL).
“Mungkin awak boleh jelaskan kepada saya kesilapan yang mana.
“Bimbingan adalah bermasalah? Awak pasti? Saya tidak fikir begitu. Kalau tidak, anda tidak akan menangi trofi seperti yang kami miliki.
“Saya berasa kesian dengan awak, selepas Manchester City, kami menang trofi paling banyak dalam dua tahun lepas, jadi saya berasa kasihan dekat awak,” selarnya selepas United tewas di Old Trafford.
Sumber: Astro Awani