Anugerah & Festival Filem Alternativa 2024 Mengumumkan Senarai Pendek Filem Dan Barisan Juri
Kuala Lumpur, 27 November 2024 – Anugerah & Festival Filem Alternativa 2024 (AFAF 2024), sebuah inisiatif filem global bukan keuntungan yang diasaskan oleh syarikat teknologi antarabangsa inDrive, telah mengumumkan senarai pendek filem-filem dan barisan juri tahun ini. Daripada 25 filem yang tersenarai – 13 filem panjang dan 12 filem pendek – 2 pembikin filem Malaysia telah dicalon dalam kategori filem pendek.
Projek Filem Alternativa bertujuan menyokong dan mempromosikan pembikin filem serta menemui bakat baharu daripada industri filem yang sedang berkembang. Inisiatif ini memberikan pendedahan antarabangsa yang lebih luas kepada pembikin filem yang menghasilkan karya dengan impak sosial positif demi menjadikan dunia tempat yang lebih baik.
Sepanjang tempoh panggilan terbuka anugerah ini, Malaysia merupakan salah satu daripada tiga negara dengan jumlah penyertaan tertinggi, menyumbangkan sebanyak 58 penyertaan daripada 680 penyertaan yang layak. Dua filem pendek peserta Malaysia yang tersenarai adalah Peaceland oleh Ekin Kee Charles dan Washhh oleh Mickey Lai.
Peaceland berlatarbelakangkan Kota Marudu, Sabah, mengisahkan perjalanan tiga sahabat baik bergaya berusia 60-an – Rena, Mina, dan Joni – yang menumpang lori haram untuk menempuh perjalanan jauh dari kampung terpencil mereka ke bandar untuk membeli barangan rumah bulanan dan memujuk anak perempuan Rena pulang. Filem pendek ini dipilih kerana mesejnya yang menekankan kepentingan hubungan kekeluargaan dan nilai kemasyarakatan yang mendalam, yang akhirnya menyeru kepada pemahaman dan perdamaian antara perbezaan kepercayaan.
Washhh pula mengetengahkan kisah seorang pelatih Cina dalam Program Latihan Khidmat Negara yang diarahkan untuk mengetuai rakan-rakan seperjuangan wanita pelbagai kaum dalam mencuci tuala wanita yang kotor di tengah malam. Filem pendek ini dicalonkan kerana keberaniannya dalam mencetuskan perbincangan tentang topik tabu berkaitan kepercayaan budaya dalam situasi yang terhad dari segi masa dan ruang.

Kanat Nogoibayev, Pengurus Kanan Komunikasi (Kelestarian), inDrive menegaskan komitmen syarikat terhadap menentatng ketidakadilan, “Di inVision, kami ingin menunjukkan kepercayaan kami terhadap penceritaan sebagai alat yang berkuasa untuk mencetuskan impak sosial melalui Anugerah dan Festival Filem Alternativa. Perwakilan yang tinggi dari Asia Tenggara memaparkan warisan budaya yang kaya di rantau ini serta keberanian pembikin filemnya untuk mengangkat tema-tema sosial yang mendesak. Festival ini merupakan bukti impak hab inVision kami, sebuah platform yang kami wujudkan untuk menentang ketidaksamarataan dan menyediakan akses kepada peluang dalam pendidikan, industri kreatif, dan selebihnya.”
Ekin Kee Charles, pengarah filem “Peaceland”, berkongsi bahawa filemnya adalah penghormatan kepada kampung halamannya, “‘Peaceland’ adalah sebuah filem pendek yang didedikasikan kepada kampung halaman saya. Ia menggambarkan hubungan kasih sayang saya dengan komuniti dan keluarga saya yang merangkumi masa lalu, masa kini, dan masa depan. Filem ini menangkap dinamik cinta-benci saya dengan tempat yang saya panggil rumah. Fakta menarik mengenai ‘Peaceland’ adalah ia menampilkan orang dari komuniti saya sendiri, termasuk ahli keluarga, rakan karib, dan tiga ibu saudara saya! Filem ini sangat peribadi bagi saya, dan saya harap semua orang menikmati menontonnya.”
Mickey Lai, pengarah filem “WASHHH”, berkongsi inspirasi di sebalik filemnya, “Kisah ini diilhamkan daripada pengalaman peribadi saya semasa menyertai Program Latihan Khidmat Negara di Malaysia. ‘Washhh’ mengisahkan sekumpulan gadis yang diarahkan oleh guru mereka untuk membersihkan bilik mandi—dan menguruskan tuala wanita yang tidak dicuci—pada larut malam sebagai cara menyelesaikan insiden kerasukan di kem tersebut. Fakta menarik mengenai filem kami ialah adegan bilik mandi tersebut merupakan satu rakaman panjang selama 24 minit, dan kami berjaya menyelesaikannya dalam hanya tujuh pengambilan!”
Semua filem yang tersenarai pendek akan dipersembahkan kepada umum semasa Festival Filem Alternativa di Yogyakarta. Para tetamu festival dijemput untuk menghadiri tayangan percuma dan menyertai perbincangan bermakna, melibatkan penonton dalam dialog mengenai filem-filem yang dicalonkan serta topik sosial signifikan yang dibawa oleh filem-filem tersebut.
Selain itu, Anugerah Filem Alternativa juga akan menganjurkan acara Industry Days (27–29 November), sebuah program profesional selama tiga hari yang direka untuk menyatukan pemain utama dalam arena impak antarabangsa. Acara ini akan menjadi titik pertemuan bagi industri filem Asia Tenggara dan seterusnya, bertujuan untuk memperkasakan pembikin filem dan penerbit dari rantau ini melalui rangkaian.
Untuk maklumat lanjut mengenai Anugerah & Festival Filem Alternativa 2024 serta pendaftaran dalam talian untuk tayangan dan perbincangan, sila layari https://alternativa.film/.