Antara negara pernah dilanda situasi COVID-19 paling teruk, salah satu negara Eropah iaitu Itali tidak lagi diwajibkan pemakaian pelitup muka mulai 28 Jun ini, menurut Kementerian Kesihatan seperti yang dipetik portal Deccan Herald.
Menteri Kesihatan, Roberto Speranza di Facebook miliknya memaklumkan bahawa perkara itu akan berlaku di wilayah berlabel ‘putih’ di bawah sistem klasifikasi Itali untuk mengesan seberapa cepat virus itu menyebar.

Ini bermakna ia merangkumi semua wilayah di Itali kecuali Lembah Aosta kecil di barat laut, tulis Deccan Herald.
Tambah portal itu, pengumuman Speranza muncul atas pandangan panel penasihat ilmiah Comitato Tecnico Scientifio (CTS) dari Itali, yang mengatakan bahawa orang ramai masih perlu memakai topeng muka untuk acara yang berisiko lebih tinggi menyebarkan virus seperti pertemuan secara besar-besaran.
Menjelang 28 Jun ini, para pakar meramalkan seluruh Itali akan diklasifikasikan sebagai zon ‘putih’, dengan hanya 21 kematian dan 495 kes baharu dicatatkan di seluruh negara pada Isnin.
Negara ini telah mencatatkan 127,291 kematian sejak wabak melandanya pada awal 2020, dengan 4.25 juta jangkitan. Setakat ini, lebih daripada 46 juta dos vaksin telah diberikan di Itali.
Sumber: Deccan Herald