Gempa bumi di wilayah timur Afghanistan, Paktika terus menyaksikan angka kematian melonjak naik dengan lebih 1,000 korban direkodkan sejak semalam, lapor CNN News.
Gegaran berskala 5.9 magnitud yang melanda negara itu telah membunuh lebih 1,000 mangsa dan mencederakan ratusan lagi individu, menurut sumber pegawai wilayah.
Difahamkan, kebanyakan kematian tertumpu pada wilayah Paktika, di daerah Giyan, Nika, Barmal dan Zirok, lapor Kementerian Pengurusan Bencana Negeri.
Menurut laporan Ketua Jabatan Maklumat dan Kebudayaan wilayah Paktika, Mohammad Amin Hozaifa, “Angka kematian itu mencecah 1,000 dan sekurang-kurangnya 1,500 orang cedera di daerah Gayan dan Barmal di wilayah Paktika sahaja,”
Gambar: Pajhowk Afghan News/Bakhtar News Agency via CNNMenerusi temu bual dalam talian bersama CNN, beliau menjangkakan jumlah korban akan terus meningkat ketika misi mencari dan usaha masih diteruskan buat masa ini.
Di wilayah kejiranan Khost pula, seramai 25 orang terkorban dan beberapa lagi cedera, manakala di wilayah Nangarhar pula sebanyak lima orang terbunuh, lapor pihak pengurusan bencana.
Gegaran berlaku serentak dengan hujan lebat
Sumber: CNNPakar Pengurusan Sumber Air Afghanistan, Najibullah Sadid berkata, “Gempa bumi itu berlaku serentak ketika dengan hujan lebat monsun di wilayah itu.
“Perkara itu menjadikan rumah-rumah lama yang kebanyakannya diperbuat daripada lumpur dan bahan semula jadi lain terdedah kepada kerosakan,” katanya, memetik CNN.
Difahamkan, sekumpulan pasukan perubatan dan tujuh helikoptor telah dihantar ke kawasan itu untuk mengambil mangsa cedera untuk dibawa ke hospital berdekatan, lapor Kementerian Pertahanan Afghanistan.
Bantuan & pampasan kecemasan disalurkan
Sementara itu, Pemangku Perdana Menteri Afghanistan, Mohammad Hassan Akhund dalam satu persidangan di Istana Presiden Negara, mengarahkan semua agensi berkaitan menghantar pasukan bantuan kecemasan ke kawasan yang terjejas.
Timbalan Menteri Negara bagi Pengurusan Bencana Afghanistan, Mawlawi Sharafuddin Muslim pula berkata pada Rabu, “Emirat Islam (Afghanistan) akan membayar RM4,916 untuk keluarga mereka yang terkorban dalam gempa bumi dan RM 2,458 kepada keluarga mereka yang cedera,”
Langkah-langkah itu juga diambil bagi menyediakan bantuan daripada segi wang dan rawatan untuk mangsa-mangsa gempa dengan menggunakan pengangkutan udara dan darat untuk menghantar makanan, pakaian, ubat-ubatan dan keperluan lain.
Gambar: Sardar Shafaq/Anadolu Agency via Getty Images via CNNSelain itu, Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif berkata, “Sangat berdukacita setelah mengetahui berita gempa bumi di Afghanistan yang mengakibatkan kehilangan nyawa yang tidak bersalah.
“Rakyat di Pakistan turut menyatakan kesedihan terhadap saudara-saudara Afghanistan mereka. Pihak berkuasa berkaitan sedang berusaha dalam membantu Afghanistan buat masa ini,” tulisnya di Twitter kelmarin.
Sebelum itu, Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) dikejutkan dengan gegaran pada jam 1.24 pagi waktu tempatan pada Rabu sekitar 46 kilometer dari barat daya bandar Khost yang terletak di sempadan Pakistan.
Gegaran itu berlaku dengan kedalaman 10 kilometer dan amaran tahap kuning dikeluarkan oleh USGS ketika itu.
Sumber: CNN News