“Alhamdulillah Daddy Sihat,” Nooryana Kongsi Najib Sedang Biasakan Rutin Baharu Di Penjara Kajang
Rasmi menjalani hukuman penjara sejak Selasa lalu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak perlu menyesuaikan diri menjalani kehidupan baharu di sebalik ‘tirai besi’ itu.
Perkara itu dikongsikan oleh anaknya, Nooryana Najwa menerusi Instagram malam tadi.
Menurut Nooryana, bapanya sedang membiasakan rutin baharu di Penjara Kajang, yang sememangnya berbeza dengan jadual harian sebelum ini yang lebih padat.
“Hari ini (semalam), wakil dari barisan peguam dapat bertemu dengan daddy di Penjara Kajang.
“Alhamdulillah daddy dalam keadaan sihat dan semangat perjuangan daddy masih kuat.
“Keperluan asas daddy juga telah diberikan dan daddy sedang membiasakan diri dengan rutin baharu yang berbeza dengan jadual bossku yang sentiasa padat,” katanya.
Menurutnya lagi, mereka sekeluarga akan dapat bertemu dengan Najib di Mahkamah Kuala Lumpur susulan perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) hari ini.
“Yana rasa ini kali pertama kami menanti kehadiran daddy di mahkamah kerana saya dan keluarga dapat meninjau keadaan daddy walaupun dari jauh,” ujarnya.
Dia juga tidak lupa untuk mengucapkan terima kasih kepada pegawai dan pengawal di Penjara Kajang yang mengambil berat mengenai keadaan bapanya.
“Kami sangat hargai keprihatinan mereka. Sekian saja perkembangan terkini dari saya dan keluarga,” tambahnya.

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan telah mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Najib kerana menyeleweng dana SRC International berjumlah RM42 juta.
Dalam pada itu, beliau juga akan menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dan 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan jumlah yang sama.
Perbicaraan bagi kes tersebut sedang berlangsung ketika ini.
Sumber: Instagram Yananajib