Tidak cukup dengan lebih 9.7 juta kes COVID-19, kini India berdepan dengan masalah baharu apabila lebih 500 individu di Andhra Pradesh dilapor terkena penyakit misteri baru-baru ini.
Pegawai perubatan kanan dari Hospital Eluru, Dr. Ram mendakwa, ada mangsa mengatakan mereka mengalami ‘mass hysteria’.
“Kebanyakan mangsa yang dirawat mengalami cedera ringan di kepala atau kesan hitam di mata akibat rebah tiba-tiba selepas diserang sawan.
“Ramai mangsa menderita gejala yang serupa, tapi kami belum dapat mengenal pasti punca (gejalanya) setakat ini,” katanya, memetik laporan Daily Mail.
Difahamkan, antara simptom serupa yang dialami mangsa adalah sawan selama tiga hingga lima minit, hilang ingatan, kegelisahan (anxiety), muntah, sakit kepala dan sakit belakang.
Antara mangsa didakwa diserang penyakit misteri | Gambar: AP/Daily Mail
Antara mangsa didakwa diserang penyakit misteri | Gambar: AP/Daily MailRamai mangsa telah dirawat dan sembuh kembali, bagaimanapun seorang lelaki berusia 45 tahun didakwa menjadi korban pertama yang meninggal dunia akibat komplikasi penyakit misteri itu.
Lantaran itu, kumpulan perubatan dan penyelidik dari Institut Virologi Kebangsaan, Pusat Kawalan Penyakit Kebangsaan serta Institut Sains Perubatan India telah dikerahkan ke kawasan berkenaan.
Sampel ujian daripada darah, beras, air kencing dan minyak diambil bagi mengenal pasti punca penyakit.
Dalam pada itu, pakar berpendapat bahawa antara punca dikenal pasti adalah penyakit tersebut dipercayai berkait dengan racun perosak, babi liar dan sisa sampah buangan.
Teori awal mengatakan penyakit tersebut dipercayai berpunca daripada penggunaan sumber air yang tercemar, namun ketua menteri menafikan dakwaan itu kerana tiada kes melibatkan pencemaran air dilaporkan.
Namun hipotesis kes kini menjangkakan, punca kejadian mungkin disebabkan sayur-sayuran yang dimakan mangsa telah dicemari racun perosak yang mengandungi sebatian organik berbahaya seperti phosphorus.
Bagaimanapun, ia didakwa tidak merebak secara individu dan mangsa berpotensi untuk sembuh semula selepas satu atau dua jam dirawat, malah kesemua mereka dilapor negatif COVID-19.
Antara mangsa didakwa diserang penyakit misteri | Gambar: AP/Daily Mail
Seorang mangsa diziarahi ketua menteri | Gambar: AP/Daily MailSumber: Daily Mail