
Siapa yang suka makan makanan Korea, pasti ‘tak sah’ kalau tak makan menu terkenal macam Ramen, kimchi dan sebagainya. Kebanyakan makanan Korea ini banyak dijual di pasar raya dan harganya juga agak tinggi sedikit.
Tapi tahukah anda, sebenarnya kita boleh saja masak makanan Korea ini di rumah sendiri. Inilah seperti yang dikongsikan oleh Noor Azmawani Ismail mengenai resipi memasak kimchi tapi ikut gaya ‘tekak Melayu’.
Menariknya, kalau kita masak kimchi ni sendiri, kosnya jauh lebih rendah berbanding beli di luar. Kata Azmawani, ia memang sangat menjimatkan, malah boleh buat stok simpanan lagi. Jom ikuti perkongsiannya di bawah ini.
Semoga bermanfaat!
Bila encik suami minta belikan kimchi, tetiba rasa kedekut hihi. Benda kita boleh buat, boleh jimat kenapa nak kena beli. Anggaran kos bahan mentah tak sampai RM10 boleh dapat 3 bekas. Secukup rasa seadanya.

Bahan-bahannya:-
1 biji kubis napa (cina) – sederhana besar
1 biji lobak merah – hiris nipis
1 biji lobak putih – hiris nipis
1 genggam daun bawang – potong sederhana panjang
5 ulas bawang putih*
1 biji bawang Holland (sederhana besar)*
1 inci halia tua
5 sudu sos ikan*
2 sudu kecil gula merah*
3 sudu besar tepung beras yang telah dimasak*
Garam halus secukupnya
3/4 cawan serbuk cili (Babas pun boleh)

Cara-caranya:
1) Kubis dipotong 4 dan dibasuh bersih-bersih setiap helaian dan direndam dalam air dalam 30 minit.
2) Sejatkan kubis dan lumurkan garam setiap helaian daun. Letakkan dalam bekas dan rehatkan sekurang-kurangnya 2 jam. Balik-balikkan bagi garam rata.
3) Panaskan periuk kecil dan masukkan 1/2 cawan air dengan 2 sudu besar tepung beras. Masak sampai likat. Matikan api dan sejukkan.
4) Masukkan semua bahan yang bertanda ‘*’ dalam pengisar berserta dengan bancuhan tepung beras. Kisar sehingga halus.
5) Masukkan bahan kisar ke dalam satu bekas.
6) Masukkan serbuk cili ke dalam bahan kisar. Gaul rata sampai menjadi pes yang agak pekat.
7) Masukkan juga potongan lobak dan daun bawang.
8) Kubis yang diperap tadi bolehlah diangkat dan dibasuh beberapa kali untuk hilangkan rasa masin yang melampau. Lepas basuh kena perah kubis sampai keluar air yang ada.
9) Kubis tadi boleh dipotong 3 atau lebih kecil.
10) Sesudah itu bolehlah dimasukkan ke dalam pes kimchi. Kacau rata sampai semuanya bersalut mesra.
11) Dah siap dan boleh disimpan dalam bekas.

Nota kasih sayang:
* Kimchi boleh dimakan segera dengan rasa sayur-sayuran yang masih rangup.
* Kebiasaannya kimchi disimpan pada suhu bilik untuk proses penapaian selama 2-3 hari. Rasanya akan jadi sedikit masam.
* Simpan dalam peti ais dan ianya akan kekal dengan rasa masam, manis dan masinnya.
* Nak lebih sedap masa nak makan taburkan sedikit bijan yang disangai.
* Sesuai sangat kalau dimakan dengan bubur nasi, nasi goreng dan mi segera.
Fuh, berjela. Minta maaf banyak-banyak sebab asalnya bagi gambar tak beresipi. Ingatkan tak laku.
Yang sabar menanti resipi terima kasih banyak-banyak semoga sabar membuahkan hasil air tangan yang paling bermanfaat.
Pada yang suka kimchi, sukalah. Yang kata masam @ tak kena dengan selera tu tekak masing-masing punya rasa.
Sumber: Noor Azmawani Ismail melalui Masak Apa Tak Jadi Hari Ini Official