Seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun ditemui dalam keadaan leher terjerut riben oleh kedua ibu bapanya ketika sedang berlatih gimnastik di dalam bilik, lapor Mirror.
Memetik portal, kanak-kanak itu tidak sengaja menjerut lehernya sendiri dengan fabrik riben yang digunakan untuk membuat latihan akrobatik.
Kejadian menyayat hati itu dilaporkan berlaku pada 25 Februari lalu di bandar Ushuaia, Tierra del Fuego, wilayah paling selatan Argentina.
Difahamkan, kedua ibu bapa kanak-kanak malang itu cuba untuk membantu anak mereka bernafas sejurus menemukan mangsa dalam keadaan demikian.
Menurut media setempat, pasukan kecemasan tiba di sana dan menyaksikan situasi pilu di mana kedua ibu bapa kanak-kanak tersebut cuba melakukan bantuan pernafasan kepada anak mereka yang sudah tidak bernyawa.
Pihak polis beserta pasukan bomba dan penyelamat yang tiba di tempat kejadian juga telah mencuba menyelamatkan kanak-kanak itu namun gagal.
Setakat ini, autoriti setempat mengklasifikasikan kes kanak-kanak malang itu sebagai kes kematian akibat kemalangan.
“Ini bukan bermaksud selamat tinggal, ini ialah akan berjumpa kamu tidak lama lagi Laylita. Kami akan sangat merindui kamu, Puteri,” tulis keluarganya di media sosial.
Sumber: Mirror