Air Selangor Pupuk Semangat Patriotik Dalam Kalangan Anak Yatim Menerusi Inisiatif Sesama Mara
Dalam usaha memupuk semangat patriotik, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menerusi inisiatif pelaburan komuniti (community investment), Sesama Mara, telah membawa seramai 45 anak yatim daripada Rumah Kanak-kanak Triniti Children Home (Petaling Jaya) dan Rumah Aman Children’s Home (Sungai Buloh) ke Muzium Negara bersempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-68 tidak lama lagi.
Di bawah program Merdeka Festive Cheer Air Selangor, anak-anak ini dibawa melawat galeri Muzium Negara bagi meningkatkan minat dan kefahaman mereka tentang sejarah serta warisan negara. Lawatan ini juga dapat menyemai rasa tanggungjawab dan cinta terhadap tanah air melalui pengalaman pembelajaran yang menyeronokkan.
Dalam pada masa yang sama, seramai 15 orang sukarelawan Hydro Heroes Air Selangor telah menemani anak-anak ini di sepanjang lawatan tersebut serta mengadakan kuiz bertemakan kemerdekaaan untuk menguji pengetahuan mereka.
Air Selangor juga membawakan kecerian dengan mengadakan sambutan hari jadi untuk meraikan mereka yang lahir pada bulan Ogos.
Program tersebut kemudiannya diakhiri dengan jamuan makan tengah hari bersama-sama dengan pengurusan kanan Air Selangor.
Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Adam Saffian Ghazali berkata, “Menerusi inisiatif Sesama Mara ini, kami berharap anak-anak ini bukan sahaja mengenali sejarah tanah air dengan lebih mendalam, tetapi juga dapat menyemai nilai perpaduan dan memupuk semangat cintai negara dalam jiwa mereka.”
Selain itu, Air Selangor turut meluangkan masa menyantuni Persatuan Kebajikan Kanak-kanak Istimewa Insan (Kuala Lumpur) dengan menyumbangkan bantuan barangan keperluan harian sebagai sebahagian daripada aktiviti pelaburan komuniti berterusan Air Selangor.
Di bawah inisiatif Sesama Mara, Air Selangor telah mengagihkan bantuan barangan makanan asas Box of Hope kepada keluarga B40 di sekitar Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Sejak mula diperkenalkan pada 30 Jun 2020, sebanyak 7,599 kotak Box of Hope telah diagihkan kepada golongan yang memerlukan.