Ahli Parlimen Tak Lagi Dibenarkan Buat “Live Streaming” Dalam Dewan Rakyat – Johari Abdul
KUALA LUMPUR — Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Datuk Johari Abdul menetapkan semua Ahli Parlimen tidak dibenarkan untuk membuat sebarang live streaming sewaktu persidangan di Dewan Rakyat.
Beliau berkata demikian sewaktu mempengerusikan sidang parlimen hari ini.
“Sejak kebelakangan ini, telah meningkatnya trend ahli-ahli yang berhormat memasang peranti seperti telefon bimbit di meja untuk membuat live streaming di media sosial semasa ucapan ketika sesi persidangan di Dewan Rakyat berlangsung.
“Untuk makluman, peraturan mesyuarat 35 (1), menghendaki ahli-ahli berhormat untuk mengarahkan sebarang ucapan kepada pengerusi. Tindakan ahli-ahli berhormat yang berucap, dengan tidak mengarahkan ucapan tersebut pada pengerusi dan memandang peranti yang dipasang, jelas tidak mematuhi peraturan mesyuarat tersebut.
“Untuk memastikan yang berhormat mematuhi peraturan mesyuarat 35(1), saya dengan ini menetapkan bahawa ahli-ahli yang berhormat tidak lagi dibenarkan untuk memasang sebarang peranti bagi membuat live streaming dalam Dewan Rakyat,” tegasnya dalam persidangan tersebut.
Tambah Johari, ucapan Ahli Parlimen boleh ditonton melalui siaran langsung sidang Dewan Rakyat di saluran YouTube rasmi Parlimen Malaysia, di RTM dan juga di media massa yang lain.
Dalam pada itu Ahli Parlimen Beluran (Perikatan Nasional), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee menyuarakan pandangan berhubung peraturan penggunaan peranti tersebut.
Beliau menyifatkan peraturan tersebut sudah tidak releven dan munasabah untuk digunakan pada masa kini.
“Saya rasa ini tidak munasabah yang berhormat, kalau digunakan peraturan 35(1) sebagai alasan, kita berada dalam zaman media yang sofistikated.
“Saya rasa Parlimen ini harus bergerak ke arah itu dan bukan bergerak ke belakang. Jadi penggunaan peranti, saya rasa sepatutnya digalakkan oleh speaker dan tidak menjadikan perkara 35 (1) memandang speaker sebagai alasan untuk menghalang Ahli Parlimen menggunakan peranti,” katanya.
Tambah ahli politik itu, beliau berharap speaker dewan rakyat merujuk semula peraturan berkenaan dan mengangkat martabat Parlimen dengan penggunaan peranti tersebut.
Menjawab pandangan Ahli Parlimen Beluran, Johari berkata, kerajaan juga telah mengambil pendekatan dengan isu berkenaan dengan menyediakan platform live streaming di saluran YouTube dan RTM.
“Live streaming ini satu benda yang bagus, moden teknologi tetapi kita juga ada dua, kita telah memulakan dua, RTM live dan kita juga ada YouTube live, cukup,” katanya.
Sekiranya mana-mana Ahli Parlimen yang mahu menggunakan video tersebut, mereka boleh mengambil daripada platform berkenaan untuk diolah.
Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan, jika rata-rata Ahli Parlimen tidak bersetuju dengan peraturan tersebut, mereka boleh menghantar surat ke Jawatankuasa Dewan Rakyat untuk perubahan.
Sumber: YouTube Parlimen Malaysia