Ahli Parlimen Padang Serai Didakwa Subahat Kes Rasuah RM400,000
SHAH ALAM, 8 Dis (Bernama) — Ahli Parlimen Padang Serai Datuk Azman Nasrudin hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan bersubahat berhubung kes rasuah RM400,000 dalam projek penternakan lembu pedaging Kerajaan Negeri Kedah lima tahun lepas.
Beliau membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin.
Bapa kepada lima anak itu didakwa melakukan perbuatan tersebut dengan ahli perniagaan Amar Assuat Abu Bakar, 41, untuk menerima suapan sebanyak RM400,000 daripada Mohd Hassanaim Fauzi, 39.
Wang itu sebagai upah membantu Mohd Hassanaim mendapatkan Projek Usahasama Ternakan Lembu Pedaging Secara Fidlot di Ladang Fidlot Kedah Agro, Mukim Sungai Laka, Kubang Pasu, Kedah daripada Kedah Agro Holding Berhad (KAHB).
Mengikut pertuduhan, Azman didakwa mengarahkan Ketua Pegawai Eksekutif KAHB mengeluarkan surat tawaran kepada Mohd Hassanaim bagi projek itu.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di tepi jalan berhadapan pejabat Syarikat Angsa Emas Beaute Sdn Bhd, Seksyen 9, Bandar Baru Bangi pada kira-kira 5 petang 23 Jun 2020.
Artikel selanjutnya bakal menyusul
Sumber: Bernama