Adakah Jurufoto Dari Pejabat Perdana Menteri Jadi Paparazi Di Dalam Parlimen? – Takiyuddin Hassan
Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menimbulkan persoalan berkaitan tindakan Parlimen terhadap jurufoto yang sebelun ini merakam imej membabitkan Ahli Parlimen Tanah Merah yang didakwa menghisap rokok elektronik atau vape di dalam Dewan Rakyat.
Lapor Awani, Takiyuddin turut mendakwa jurufoto itu telah mengaku melakukan kesalahan tersebut dan mahu Parlimen mengambil tindakan selanjutnya.
“Jadi persoalan di sini adakah jurufoto pejabat Perdana Menteri juga menjadi paparazi di dalam Parlimen ini?
“Paparazi tengok siapa buat salah dengan cara berunsur fitnah.
“Saya harap Parlimen memberikan satu petua, adakah Parlimen akan memanggil jurufoto yang ternyata, saya difahamkan telah mengaku melakukan kesalahan.
“Sekarang ini terbukti seorang jurufoto daripada pejabat Perdana Menteri yang telah mengambil secara salah, gambar dan diviralkan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Jelas beliau, kesalahan yang dilakukan jurufoto itu adalah di bawah Akta 347 seksyen 9(e).
Dalam seksyen tersebut, ia menyebutkan tentang seseorang yang mengamang, menghalang, atau mencela mana-mana ahli yang datang ke Majlis atau meninggalkan majlis atau kerana kelakuannya dalam majlis, atau berusaha memaksa mana-mana ahli dengan kekerasan, celaan, atau ancaman untuk menyatakan dirinya menyokong atau menentang apa-apa cadangan atau perkara yang belum selesai di hadapan, atau dijangkakan akan dibawa ke hadapan, majlis.
Tambahnya, akta tersebut juga boleh dikenakan ke atas orang luar selain ahli-ahli Parlimen.
“Pihak kami memandang berat sekiranya pihak Parlimen tidak mengambil apa-apa tindakan yang sewajarnya sebagaimana yang diperuntukkan di bawah seksyen .
“Pihak Parlimen boleh mengambil tindakan kepada mana-mana ahli dan juga orang luar, any other person yang melakukan kesalahan sebagaimana yang di senarai.
“Ada 14 kesalahan di bawah seksyen 9(e), Akta 347 yang salah satunya adalah mencela mana-mana ahli yang datang ke majlis dan meninggalkan majlis,” ujarnya.
Sebelum ini, tular di media sosial sekeping gambar yang memaparkan Ahli Parlimen Tanah Merah, Ikmal Hisham Abdul Azizi memegang satu objek berbentuk silinder pada mulutnya.
Bagaimanapun Ikmal Hisham menafikan dakwaan tersebut dengan mengatakan objek yang dipegang adalah sebatang pen dan bukannya vape seperti yang ditularkan.
Sumber: Awani