Pendakwah dermawan, Ustaz Ebit Lew menitipkan pesanan terakhir bersempena penutup tahun 2020 ini.
Menerusi satu hantarannya di Facebook hari ini, jelasnya, segala apa yang kita lalui bersama sepanjang tahun ini merupakan ujian yang berat daripada-Nya.
“Ada orang kehilangan orang tersayang. Ada yang hilang pekerjaan. Perniagaan tutup. Berjauhan dengan orang tersayang. 24 jam berkorban.
“Tapi yang pasti semua ujian itu kerana Allah sayang kita. Dia sangat sayang pada kita. Dia tahu apa yang terjadi,” jelasnya dalam hantaran tersebut.
Tambahnya lagi, ujian yang kita hadapi ini adalah tanda Allah SWT mahu hamba-hamba-Nya menjadi yang lebih baik dan lebih dekat kepada-Nya.
Sehubungan itu, kita semua dituntut untuk sentiasa memperbaiki diri untuk mencapai rahmat Allah SWT.
“Biarlah ujian ini membuat kita lebih bersatu hati. Semakin sayang pada isteri dan anak-anak. Semakin sayang ibu bapa dan keluarga.
“Lebih menghargai orang lain tanpa mengira bangsa dan agama. Kita semua sebuah keluarga,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Ustaz Ebit turut berpesan agar kita semua menjaga tiang agama masing-masing, iaitu amalan solat.
Dalam masa sama, beliau turut memberi keyakinan bahawa segala ujian yang mendatang ini, ada tersingkap hikmah di sebaliknya.
“Jaga solat awal waktu. Selalu beri masa berdoa.
“2021..saya yakin di sebalik ujian ada rahmat yang besar. Allah janjikan begitu. Jangan sedih ye.
“Kita ada Allah yang sangat sayang kita dan tak pernah lupakan kita. Dia sediakan rahsia di sebalik ujian-Nya,” katanya lagi.
Sumber: Ustaz Ebit Lew