Ada Kandungan Merkuri, Ini Enam Jenis Makanan Laut Berisiko Untuk Ibu Hamil Ambil
Setiap ibu hamil perlu mengamalkan pemakanan yang seimbang dan bernutrisi sepanjang kehamilan agar dapat melahirkan bayi yang sihat. Ini kerana pemakanan yang sihat akan membekalkan simpanan nutrisi bagi keperluan pembentukan janin. Justeru itu, setiap ibu yang hamil perlu mengambil berat mengenai pemakanan bagi mengurangkan risiko kesihatan semasa hamil.
Oleh itu, ibu hamil perlu menerima nasihat daripada pakar perubatan tentang pemakanan terutama dalam pengambilan makanan laut kerana tidak semua makanan laut seperti ikan atau kekerangan boleh di makan oleh ibu-ibu yang hamil kerana sesetengah makanan laut mengandungi kadar merkuri yang tinggi.
Menurut laman Hello Doktor, terdapat beberapa perkongsian berkaitan merkuri dan jenis ikan yang tidak boleh dimakan oleh ibu hamil. Berikut adalah perkongsiannya.
Segala apa yang anda makan, semuanya akan mempengaruhi perkembangan bayi anda. Jadi, berhati-hatilah ketika memilih walaupun jenis ikan sekalipun.
Eh, takkan ikan pun kena pilih? Mestilah ibu, dan artikel ini akan menghuraikan sebab dan jenis ikan yang berbahaya untuk kandungan anda!
Makanan laut dalam diet ibu hamil, perlu ke?
Makanan laut merangkumi ikan dan kerang-kerangan kaya dengan sumber protein, zat besi dan zink. Nutrien ini penting untuk perkembangan bayi anda.
Asid Omega-3 termasuk asid dokosaheksaenoik (DHA) boleh didapati dalam banyak jenis ikan dan ia mendorong pembentukan dan perkembangan otak si kecil, jadi baik untuk dimasukkan dalam rutin diet ibu hamil.
Namun, terdapat beberapa jenis ikan pemangsa yang besar harus dielakkan oleh ibu hamil kerana mengandungi kadar merkuri yang tinggi.
Walaupun makanan laut yang mengandungi merkuri tidak merisaukan orang dewasa, namun berhati-hatilah jika anda merancang untuk hamil atau sedang hamil.
Makanan hamil tidak seharusnya mempunyai kadar merkuri yang tinggi kerana ia boleh membantutkan perkembangan bayi anda.
Isu merkuri, bahaya ke untuk si kecil saya?
Merkuri ialah sejenis logam yang boleh dijumpai secara semula jadi dalam persekitaran. Namun, kadar merkuri semakin tinggi dek kerana pencemaran oleh industri-industri yang berkembang pesat dan menjejaskan makanan laut.
Kajian mendedahkan merkuri yang tinggi dalam diet ibu hamil boleh memberi kesan negatif kepada bayi anda walaupun ibu tidak menunjukkan simptom.
Sistem saraf janin mudah terjejas ketika tempoh perkembangan yang cepat. Oleh itu, diet ibu hamil yang selamat sangat penting untuk bayi anda.
Kesan negatif pengambilan merkuri oleh ibu hamil terhadap bayi adalah:
Masalah berkaitan dengan saraf
Kerencatan mental
Ataksia dan palsi serebrum
Sawan
Hilang deria pendengaran dan penglihatan
Melambatkan pembangunan bayi
Kecelaruan bahasa
Masalah fungsi motor, keupayaan ruang visual dan daya ingatan
Masalah jantung
Tekanan darah tinggi
Degupan jantung lemah
Jumlah makanan laut dalam diet ibu hamil yang dicadangkan
Beberapa cadangan hidangan untuk diet ibu hamil telah dikeluarkan oleh Food and Drug Administration (FDA) dan Environmental Protection Agency (EPA) di Amerika Syarikat termasuklah :
Mengambil dua hingga tiga hidangan seminggu menggabungkan pelbagai jenis ikan. Jumlah hidangan ikan tidak sepatutnya melebihi 340 gram seminggu.
Beberapa jenis ikan seperti ikan tuna putih dan ikan-ikan yang mempunyai kadar merkuri yang tinggi hanya boleh dimakan sebanyak satu hidangan seminggu, seberat 170 gram sahaja.
Elakkan ikan bermerkuri tinggi.
Jika mendapat ikan tangkapan keluarga atau kawan-kawan, dapatkan nasihat daripada doktor mengenai jenis ikan tersebut. Jika tidak berkesempatan, hadkan pemakanan ikan tersebut kepada satu hidangan seminggu sahaja dan jangan makan ikan lain untuk minggu tersebut.
Jenis ikan yang selamat untuk dimakan
Ikan yang mempunyai tahap merkuri rendah tetapi kaya dengan omega-3 ialah :
Salmon
Ikan bilis
Hering
Sardin
Trout air tawar
Tenggiri
Makanan laut lain yang boleh dimakan ibu hamil termasuklah :
Udang dan udang galah
Ketam
Sotong
Tiram
Ikan keli
Tilapia
Tuna dalam tin
Ikan pollock
Siakap hitam
Ibu hamil, elakkan pilihan ini!
Jenis ikan yang mempunyai kadar merkuri yang tinggi selalunya ikan pemangsa yang besar seperti :
Ikan marlin
Ikan todak
King mackerel
Ikan yu
Ikan orange roughy
Ikan tilefish
Panduan makanan laut lain untuk ibu hamil
Langkah berjaga-jaga harus diambil jika masih inginkan makanan laut dalam diet ibu hamil.
1. Elakkan makanan laut mentah
Kredit: halodocUntuk mengelakkan diri daripada mendapat jangkitan kuman atau virus yang berbahaya, janganlah mengambil makanan laut yang mentah seperti sushi, sashimi dan tiram.
Makanan laut yang disalai juga sebaiknya dielakkan.
2. Masak makanan laut sepenuhnya
Kredit: Trip.comKebanyakan makanan laut sepatutnya dimasak dengan suhu melebihi 63°C.
Ikan masak sepenuhnya apabila isi nampak seperti serpihan dan kelihatan gelap. Udang dan udang galah akan menjadi kemerahan dan isinya tampak berkilau dan gelap.
Kerang dan tiram seharusnya dimasak sehingga terbuka kerangnya. Jika ada yang tidak dibuka, buangkan kerang atau tiram tersebut.
Secara ringkasnya, Makanan laut baik untuk diet ibu hamil jika anda peka akan jenis ikan yang diambil. Hati-hatilah dengan pilihan ikan anda kerana ia boleh memberi komplikasi kepada si manja. Semoga perkongsiaan ini dapat membantu ibu-ibu hamil untuk merancang dan memilih makanan yang sesuai untuk diet anda.
BACA: Perbicaraan Kes Rasuah Ahmad Zahid Ditangguh Tahun Depan
Sumber: Hello Doktor