Baru-baru ini, netizen di Malaysia telah melancarkan kempen mengibarkan bendera putih sebagai satu ‘isyarat’ bagi sesiapa sahaja yang mengalami kesempitan hidup dan memerlukan bantuan dari orang lain.
Bukan bermaksud menyerah kalah, tetapi ia merupakan tanda harapan dan kekuatan untuk tidak berputus asa. Walau segetir manapun dugaan yang dilalui ketika ini, akan ada orang yang sentiasa bersama-sama kita.
Kempen ini semakin hari mendapat perhatian ramai termasuk dari 99 Speedmart yang bersedia untuk memberikan barang keperluan makanan kepada sesiapa yang memerlukan.
Menerusi kiriman di Facebook hari ini, 99 Speedmart mengatakan bahawa mereka menyahut baik kempen ini dan meminta kepada orang ramai untuk menyalurkan maklumat jika terlihat bendera putih digantung di mana-mana rumah atau kawasan kejiranan masing-masing.
Kempen itu dikatakan akan bermula pada 1 Julai sehingga 14 Julai 2021 dengan bantuan barangan sebanyak 1000 pek sehari. Pun begitu, ia hanya melibatkan kediaman yang berhampiran dengan cawangan 99 Speedmart sahaja.
Bagi yang ingin membantu jiran sekeliling, anda boleh menghubungi nombor 99 Speedmart dan lengkapkan maklumat seperti di bawah ini.
Alamat Tempat Tinggal
Gambar Rumah (Gantung Bendera Putih)
Sumber: 99 Speedmart