Putrajaya, 27 Mei – Selangor sekali lagi menjadi negeri tertinggi mempunyai cubaan rentas sempadan ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Hal ini dimaklumkan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri dalam sidang media Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebentar tadi.
Menurutnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah memeriksa 127,672 kenderaan di sekatan jalan raya antara negeri semalam.
“PDRM telah mengadakan 155 sekatan jalan raya rentas sempadan negeri di seluruh negara dan memeriksa sebanyak 127,672 kenderaan.
“Negeri yang mencatatkan cubaan rentas negeri untuk pulang ke kampung yang tertinggi adalah Selangor, 284, Kedah (122) dan Melaka (113),” katanya.
Seramai 136 individu telah ditahan semalam, 75 daripadanya telah direman manakala 61 individu dijamin atas kesalahan ingkar PKPB.
Sumber: RTM