737 Kg Ikan Bandaraya Berjaya Ditangkap Di Sungai Baru, Masjid Tanah
Sebanyak 737 kilogram ikan bandaraya berjaya ditangkap oleh Skuad Pemburu Ikan Asing (SPIA) di Sungai Baru, Masjid Tanah, Melaka hari ini.
Berdasarkan perkongsian menerusi Facebook Tok Tuah Channel Haziq, jumlah ikan bandaraya di kawasan tersebut didapati berada pada tahap amat kritikal dan jauh lebih serius daripada jangkaan.
Menurutnya, saiz ikan bandaraya yang ditangkap kali ini jauh lebih kecil berbanding tangkapan mereka sebelum ini.
“Berdasarkan pengalaman kami selama ini, hasil tangkapan kebiasaannya mencecah antara satu hingga dua tan berat ikan.
“Purata berat seekor ikan bandaraya yang kami tangkap sebelum ini adalah antara 800 gram hingga 1.5 kilogram.
“Ini bermaksud jumlah ikan yang ditangkap secara purata adalah antara 1,000 hingga 1,200 ekor bagi setiap operasi,” kongsinya.
1 Kg bersamaan dengan 8 hingga 10 ekor ikan
Bagaimanapun, berbeza di Sungai Baru, dengan jumlah tangkapan seberat 737 kilogram, kesemua ikan yang ditangkap berukuran kecil.
Untuk mendapatkan 1 kilogram, mereka perlu menangkap antara 8 hingga 10 ekor ikan, berbanding hanya seekor atau dua ekor pada operasi lain sebelum ini.
“Purata saiz ikan bandaraya di sini begitu kecil sehinggakan kami perlu menangkap antara 8 hingga 10 ekor ikan untuk mendapatkan berat 1 kilogram.
“Ini jelas menunjukkan bahawa populasi ikan bandaraya di Sungai Baharu ini jauh lebih banyak berbanding tangkapan-tangkapan kami sebelum ini,” katanya lagi.
Ringkasnya, berdasarkan kiraan anggaran, jumlah sebenar ikan yang berjaya ditangkap hari ini boleh mencecah antara 5 hingga 6 tan sekiranya kesemua ikan mencapai saiz biasa seperti tangkapan di tempat lain.
Ini menunjukkan bahawa Sungai Baru kini didominasi oleh spesies ikan bandaraya dalam jumlah yang berlipat kali ganda berbanding sungai-sungai lain sebelum ini.
Situasi ini amat membimbangkan kerana ikan bandaraya merupakan spesies invasif yang boleh mengancam ekosistem perairan tempatan.
Jika tiada tindakan segera diambil, populasi ikan ini berpotensi untuk terus membiak dan menyebabkan kerosakan lebih besar kepada biodiversiti sungai.
BACA: Sultan Pahang Doakan Kesihatan Sultan Brunei, Titah Solat Hajat Diadakan
Sumber: Tok Tuah Channel Haziq/FB