Polis Diraja Malaysia akan meningkatkan bilangan Sekatan Jalan Raya (SJR) di seluruh negara kepada lebih 800 SJR berbanding hampir 600 SJR pada sebelum ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, dalam satu kenyataan, berkata ianya bagi memastikan aspek penguatkuasaan dan pematuhan SOP dapat dilaksanakan secara berkesan.
Susulan daripada itu, kekuatan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan ditambah kepada 55,000 anggota sepanjang pelaksanaan ‘lockdown’ kali ini berbanding 37,000 anggota semasa.
Beliau berkata pemeriksaan secara mengejut juga akan dilaksanakan oleh Tim Pemantauan Pematuhan SOP dengan kerjasama kementerian dan agensi kerajaan berkaitan seperti MITI, KSM, KKR dan Pihak Berkuasa Tempatan bagi memastikan pematuhan SOP dalam kalangan sektor sosial dan ekonomi dipatuhi.
Justeru daripada itu, KDN menasihatkan semua pihak memberikan kerjasama dan mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh kerajaan bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan perintah ‘lockdown’ kali ini.
Tindakan tegas tanpa kompromi seperti kompaun akan diambil ke atas mana-mana pihak yang didapati tidak mematuhi SOP di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
Sumber: Bernama TV