34 Motosikal Terbakar Di PPR Kampung Muhibbah, Bukit Jalil, Disyaki Perbuatan Khianat
Sebanyak 34 buah motosikal dilaporkan terbakar di kawasan parkir di Blok G, Projek Perumahan Rakyat Kampung Muhibbah, Bukit Jalil hari ini, dipercayai terdapat unsur khianat, lapor Sinar Harian.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, pihak polis telah menjalankan siasatan berkenaan insiden tersebut mengikut Kanun Keseksaan Khianat dengan api di bawah Seksyen 435.
“Kita sedang mengesan suspek yang melakukan perbuatan khianat ini,” katanya dalam kenyataan pada Rabu, memetik Sinar Harian.
Menurut Muhammad Idzam, pihak polis menerima panggilan daripada seorang wanita tempatan kira-kira 2.21 pagi yang melaporkan berlakunya kebakaran membabitkan motosikal.
“Kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya oleh pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat. PIhak polis dengan bantuan Forensik Bomba dari Balai Bomba Sri Rampai telah menjalankan siasatan di tempat kejadian untuk mengenal pasti punca sebenar kebakaran tersebut,” katanya.
Beliau berkata, orang ramai juga dinasihatkan untuk menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Muhamad Firdaus Eber ditalian 014-364 9458, Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050/ 5051, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis yang berdekatan jika mempunyai maklumat berkaitan insiden kebakaran tersebut.
BACA: Bank Negara Umum Naikkan OPR 25 Mata Kepada 2.25 Peratus
Sumber: Sinar Harian