Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan bahawa banjir dijangka akan berlaku di beberapa kawasan di Kelantan bermula 5 Januari 2021.
Menurut ciapan yang dikongsikan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sebentar tadi, ia akan berlaku di Lembangan Sungai Kelantan iaitu Sungai Nal, Sungai Durian dan Sungai Pahi.
Ia melibatkan daerah Kuala Krai iaitu di Kampung Bedal, Kampung Sireh, Taman Warisan, Kampung Kuala Pertang, Kampung Ngagoh, Kampung Pahi, Kampung Aur Duri, Kampung Guchil, Kampung Jirat, Kampung Gatal, Kampung Bukit Mengkebang, Kampung Keroh, Kampung Batu Jong dan kawasan sekitarnya.
Amaran banjir itu dikeluarkan susulan daripada amaran cuaca bahaya oleh Jabatan Meteorologi pada 3 Januari lalu.
Semua penduduk terutamanya di kawasan yang dijangka banjir diminta berwaspada.
Maklumat dan amaran akan disalurkan kepada agensi pengurusan bencana, media dan orang awam melalui laman web Public Info Banjir, Facebook PublicInfoBanjir dan Twitter @JPS_ InfoBanjir.
Sumber: mynadma