
1,200 Peserta Sertai Persidangan & Mesyuarat Kongres Pustakawan Asia Tenggara ke-19
Seramai 1,200 peserta dari seluruh Asia Tenggara dan negara-negara luar telah. menyertai Persidangan dan Mesyuarat Kongres Pustakawan Asia Tenggara ke-19 (CONSAL XIX) yang dianjurkan oleh Kementerian Perpaduan Negara melalui Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dari 16 hingga 19 Jun ini.
Persidangan itu telah dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur pada Selasa.
Bersesuaian dengan temanya iaitu Memanfaatkan Inklusiviti, Memperkasa Kemanusiaan, CONSAL menekankan kepentingan keterangkuman dalam akses dan penyebaran pengetahuan kepada semua lapisan masyarakat.
Acara yang diadakan tiga tahun sekali ini merupakan platform kerjasama serantau yang utama bagi para profesional perpustakaan di seluruh ASEAN.
“Keahlian CONSAL merangkumi negara-negara seperti Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam, yang diwakili oleh persatuan pustakawan kebangsaan dan institusi perpustakaan utama negara masing-masing,” kata Kementerian Perpaduan.
Bagi tahun ini, sebanyak 89 kertas kerja yang bernas dan berwibawa oleh tokoh-tokoh dan pakar pelbagai bidang akan dibentangkan.
Kongres ini juga membuka ruang istimewa untuk memperkukuh jaringan serantau, mengetengahkan amalan terbaik serta mencorak halatuju baharu dalam perkongsian ilmu secara lebih meluas dan bermakna.
Malah, cabaran dan peluang dalam proses pendigitalan selaras dengan arus kemajuan teknologi yang pesat turut dibincangkan.
Sementara itu, Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang berkata Malaysia telah mencatat kemajuan yang amat membanggakan dalam merevolusikan ekosistem perpustakaan negara, antaranya menerusi inisiatif u-Pustaka, iaitu platform perpustakaan digital nasional yang boleh diakses oleh semua rakyat Malaysia menerusi laman sesawang www.u-pustaka.gov.my.
“Perpustakaan masa kini bukan lagi sekadar tempat penyimpanan buku, tetapi telah berevolusi menjadi lambang keadilan ilmu, pintu akses digital, penjaga khazanah warisan budaya, dan pusat pembelajaran sepanjang hayat untuk semua lapisan masyarakat,” katanya.
Tambahnya lagi, u-Pustaka menyediakan perkhidmatan pinjaman sumber fizikal dan digital seperti e-buku, buku audio, akhbar, jurnal serta penerbitan kerajaan secara percuma, pada bila-bila masa dan di mana sahaja.
Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama serantau menerusi platform seperti Perpustakaan Digital ASEAN (ASEAN Digital Library – ADL).
Inisiatif ini menghimpunkan metadata daripada perpustakaan negara-negara anggota ASEAN, dan kini sudah tersedia akses rentas sempadan kepada puluhan ribu bahan digital termasuk manuskrip langka, artifak budaya dan dokumen sejarah
Beliau menyeru semua negara ASEAN untuk mempercepatkan penyertaan dan sumbangan mereka dalam ADL, kerana pemilikan ilmu secara kolektif merupakan asas penting dalam membina masyarakat serantau yang lebih kuat, berteraskan budaya dan bersifat inklusif.
Sumber: Kementerian Perpaduan Negara